Tebing runtuh disangka gempa bumi: Mangsa

Tebing runtuh disangka gempa bumi: Mangsa

KUALA LUMPUR,. “Saya terbangun dari tidur selepas dikejutkan dengan satu dentuman kuat serta lantai rumah bergegar seakan gempa bumi,” kata seorang mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah pangsapuri Persiaran Syed Putra, di sini pada Khamis lepas.

Mangsa kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah, 16, berkata sewaktu kejadian dia tertidur selepas menonton televisyen di ruang tamu.

“Saya terlena di atas sofa dan terkejut dengar dentuman itu, terus ke bilik ibu kerana ketakutan.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya bersama ibu meninjau ke luar tingkap dan mendapati tanah dari tebing atas telah runtuh,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Sarah berkata dia terbangun pada kira-kira jam 9.45 malam dan bergegas melakukan pemeriksaan melihat tanah sudah memenuhi bahagian luar rumahnya.

“Akibat hentakan tanah runtuh itu saya melihat perabot dan barangan peribadi di dalam rumah berselerak manakala sebuah pintu kaca juga telah pecah,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Raymond Lee, 45, berkata beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk tinggal di hotel kerana bimbang keadaan tanah yang masih belum stabil.

“Tanah runtuh di pangsapuri ini pernah berlaku pada 10 tahun lepas, namun tidak seteruk ini sehingga bergegar rumah dibuatnya.

“Sebenarnya tanah runtuh ini berlaku kerana tebing tanah yang tidak begitu kukuh dan menunggu masa untuk runtuh serta tidak mendapat perhatian pihak bewajib,” katanya.

Sementara itu, sumber polis daripada Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyatakan orang awam tidak dibenarkan memasuki kawasan pangsapuri berkenaan.

“Kawalan dilakukan di kawasan berkenaan sejurus kejadian bagi menjaga barangan awam dan keselamatan penduduk kawasan sekitar,” katanya sambil menambah punca tebing runtuh masih dalam siasatan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan 11 penghuni di sebuah pangsapuri tiga tingkat di Persiaran Syed Putra berdepan detik cemas apabila tebing tanah berhampiran kediaman mereka runtuh akibat hujan lebat pada 1 Oktober lepas.

Kesemua 11 penghuni rumah terlibat dinasihatkan meninggalkan kediaman mereka atas faktor keselamatan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuat penilaian ia tidak selamat diduduki.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )