Tarawih di rumah erat kekeluargaan

Tarawih di rumah erat kekeluargaan

LABUAN,. Meskipun solat tarawih secara berjemaah di surau atau masjid tidak dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ), ia tidak menghalang umat Islam di pulau ini untuk terus beribadat dalam bulan Ramadhan.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Mohd. Zaki Mat Salleh berkata, solat tarawih bersama keluarga sepanjang tempoh PKP dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan.

“Kesatuan hati terbina apabila semua ahli keluarga dapat bersama melakukan ibadah dan mengaminkan doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT.

“Dengan melakukan ibadah tarawih di rumah secara konsisten pada setiap malam, ia dapat merealisasikan konsep ‘Rumahku Syurgaku’ di dalam musim PKP ini. Insha-Allah,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Beliau berkata, ketika negara dilanda musibah wabak Covid-19, rakyat seharusnya memandang dari sudut yang positif.

“Musibah ini terkandung banyak hikmah seperti peluang untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga melalui aktiviti seperti mengemas rumah, memasak, solat jemaah dan tarawih , bertadarus Al-Quran, berkebun dan sebagainya,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )