Tampar pemain: Lesen jurulatih dibatalkan – Hannah Yeoh

Tampar pemain: Lesen jurulatih dibatalkan – Hannah Yeoh

PUTRAJAYA,. Lesen jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun yang menampar dua pemainnya dibatalkan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata jurulatih itu yang juga seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk untuk murid sekolah.

Hannah berkata Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah memuktamadkan siasatan insiden itu dan sebulat suara memutuskan jurulatih itu sepatutnya hilang kelayakan menjadi jurulatih.

“Jurulatih itu telah ditarik balik Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap 1 (Sukan Spesifik) oleh MAVA. Tiada apa-apa berunsur peribadi dengan keputusan ini, kita ingin jadikan insiden ini sebagai pengajaran agar ia tidak berulang.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian senada dengan MAVA membatalkan lesen jurulatih itu,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sini hari ini.

Jurulatih terbabit, Saiful Hadee Amar, 44, sebelum ini telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan sedia berdepan tindakan, susulan kejadian itu yang berlaku ketika kejohanan di Johor pada 14 hingga 16 Sept tahun lepas tular baru-baru ini.

Hannah berkata susulan insiden itu, pihaknya menyedari bahawa terdapat keperluan untuk semua jurulatih kepada murid sekolah menjadi sebahagian daripada Skim Perlesenan Kebangsaan (SLLK) dan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPPK).

Sementara itu, beliau berkata KBS telah mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di bawah Institut Sukan Negara supaya memastikan pelaksanaan peraturan mewajibkan jurulatih memperbaharui lesen setiap dua tahun.

“Ia diperketatkan lagi bagi memastikan jurulatih sukan negara sentiasa dipantau perkembangan dan keaktifan karier kejurulatihan mereka, ia juga membolehkan AKK dan pemegang taruh mengemas kini data dan membantu jurulatih meningkatkan kemahiran mereka melalui upskilling dan reskilling (peningkatan kemahiran dan pemahiran semula),” katanya.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM selesai menjalankan siasatan insiden itu dan menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengambil sebarang tindakan berkaitan.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu mengambil berat dan memberi perhatian untuk mengelak atau mengawal daripada berlaku sebarang kemungkinan yang tidak dingini,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )