Taman Tugu tawar kedamaian hutan hujan tropika di ibu kota

Taman Tugu tawar kedamaian hutan hujan tropika di ibu kota

KUALA LUMPUR,. Di sebalik hiruk-pikuk ibu kota, tersembunyi khazanah alam kira-kira 5,000 batang pokok hutan hujan daripada 230 spesies tempatan, menawarkan kedamaian kepada pengunjung sehingga boleh terlupa hutan hujan tropika itu terletak di tengah-tengah kota metropolitan.

Berkedudukan tidak jauh dari bangunan Parlimen, monumen Tugu Negara serta ibu pejabat polis Bukit Aman, Taman Tugu ini menawarkan bunyi unggas dan mergastua rimba yang saling bersahutan, menenggelamkan bingit kesesakan lalu lintas.

Ketua Penjenamaan dan Komunikasi Taman Tugu Tracey Surin berkata berkeluasan 27 hektar, hutan hujan tropika yang terletak kira-kira lima kilometer dari mercu tanda Menara Berkembar Kuala Lumpur itu menyediakan laluan hutan pejalan kaki sejauh lima kilometer (km) untuk warga kota dan pengunjung beriadah.

Menurutnya hutan itu menjadi tumpuan warga kota sekalipun ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung seminggu.

“Kami membuka semula taman ini pada 8 Mei, empat hari selepas PKP Bersyarat diumumkan. Pembukaan semula adalah mengikut prosedur operasi standard seperti memastikan jarakan sosial, pemeriksaan suhu dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya denai pejalan kaki juga diubah arah bagi memisahkan jalan masuk dan keluar, selain menambah papan tanda sebagai pandu arah dan peringatan kepada pengunjung.

Tracey berkata bagaimanapun hanya denai utama berjarak tiga km, ‘nursery trail’ berjarak satu km, kemudahan parkir kereta dan tandas dibuka pada waktu ini manakala aktiviti seperti zumba dan yoga yang dianjurkan secara mingguan sebelum ini, dihentikan buat sementara waktu bagi mengelak perhimpunan ramai.

Menjelas lanjut, Tracey berkata pihaknya juga akan menambah laluan sepanjang dua km, kemudahan surau, kuil Hindu, kawasan aktiviti luar serta ruang acara secara berperingkat.

Projek Taman Tugu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat diterajui Khazanah Nasional Berhad dan dibuka kepada umum secara berfasa pada September 2018, bertujuan memulihara dan memelihara kawasan hijau di tengah ibu kota.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menyifatkan projek berkenaan sebagai antara bukti bahawa ibu negara berada di landasan yang betul dalam mencapai sasaran bandar raya hijau.

“Dalam perancangan masa depan juga kita mahu menumpukan pada kawasan hijau,” katanya yang berharap taman itu akan menjadi antara tarikan utama pelancong, khususnya pelancong asing yang gemarkan kedamaian hutan serta mengenali spesies pokok tempatan seperti jelutong, tembusu, pulai dan gaharu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )