Taman Rimba Kiara Akan Terus Dipelihara
PUTRAJAYA,. Warga ibu kota terutama penduduk di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur sekali lagi diberi jaminan bahawa kawasan hijau di Taman Rimba Kiara akan terus dipelihara dan kekal selamat.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, pihaknya tidak akan membenarkan sebatang pokok sekali pun diusik malah pemilik taman awam itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu meletakkan pagar dan sempadan yang jelas.
Beliau menjelaskan, kempen segelintir pihak yang mahu Taman Rimba Kiara diselamatkan ekoran rancangan projek pembangunan di kawasan berhampiran adalah tidak berbangkit kerana ia tidak melibatkan kawasan taman awam itu.
“Saya telah semak, saya telah pergi sendiri dan tengok pelan, geran dan kertas kerja, taman itu terletak di atas satu lot yang tidak diusik dan tidak dibenarkan diusik.
“Saya telah memberitahu agar dapatkan peruntukan dan perelokkan lagi Taman Rimba Kiara,” katanya dalam Live di laman Facebooknya.
Annuar berkata, selain itu terdapat pula lot tanah berasingan milik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berhampiran Taman Rimba Kiara itu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, ada pihak juga keliru tentang kewujudan sebuah lagi taman besar iaitu Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 162 hektar yang diuruskan di bawah Jabatan Landskap Negara.
Katanya, taman yang luas tersebut adalah kawasan yang berbeza dengan Taman Rimba Kiara.
“Kita beri jaminan atas lot taman itu tidak akan terusik tetapi dalam masa sama tuan tanah (lot berasingan) mereka ada hak tertentu. Satu lagi Taman Persekutuan, itu juga akan terus kita jaga,” katanya. – WILAYAHKU