Taktik petik nama undang suasana panik dalam kalangan masyarakat – MCMC

Taktik petik nama undang suasana panik dalam kalangan masyarakat – MCMC

KUALA LUMPUR,. Taktik ‘petik nama’ iaitu mendakwa mendapat sesuatu maklumat daripada sumber berpengaruh dan menyebarkannya tanpa mengesahkan kesahihannya di media sosial, boleh mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Berkongsi situasi negara ketika ini yang sedang dilanda pandemik COVID-19, Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Zulkarnain Mohd Yasin berkata, terdapat banyak kes maklumat tidak sahih dikongsi netizen, yang kononnya dikeluarkan individu bertanggungjawab.

Katanya, antara kes ‘petik nama’ termasuk kononnya Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan sesuatu perkara mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Keluarga (PKPK), walaupun sebenarnya beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa.

“Budaya ini lebih kepada memanipulasi minda sekali gus memutar belit fakta, sehingga membangkitkan kemarahan dan membuatkan masyarakat panik. Budaya ini juga boleh menjatuhkan kredibiliti individu yang dipetik,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Temu Bual Radio oleh Bernama Radio di sini hari ini.

Zulkarnain yang diundang bagi mengupas topik ‘Budayakan Penggunaan Media Sosial Secara Berhemah’ di radio berkenaan menjelaskan, pihak tidak bertanggungjawab itu juga berkemungkinan mahu menjadi yang pertama berkongsi sesuatu maklumat, tetapi melalui cara yang tidak betul.

“Pada masa sama mereka juga mahu meningkatkan jumlah ‘follower’ (pengikut) media sosial peribadi mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, Zulkarnain berkata masyarakat masih mempunyai ruang dan saluran bagi mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh di media sosial, lebih-lebih lagi berkaitan dengan situasi pandemik COVID-19.

“Masyarakat perlu meningkatkan keupayaan literasi digital tentang sesuatu perkara negatif berkaitan berita palsu. Budayakan semak sebelum sebar dan rujuk kepada sumber sahih,” tegas Zulkarnain.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat untuk peka dengan perkembangan semasa dan tidak mudah percaya, walaupun terdapat nama individu bertanggungjawab dipetik dalam sesuatu maklumat.

Zulkarnain menyifatkan maklumat seumpama itu hanyalah sekadar khabar angin kerana ia belum tentu sahih dan tepat, dengan hanya sekadar menamakan seseorang individu bagi menguatkan kenyataan mereka.

“MCMC memandang serius perkara ini dengan mengenakan tindakan tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab yang didapati bersalah, sehingga menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada masyarakat serta negara,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)