Taksiran murid sekolah rendah berbeza mampu pacu sistem pendidikan negara
KUALA LUMPUR,. Cadangan kerajaan Sarawak untuk memperkenalkan taksiran baharu bagi murid sekolah rendah dilihat dapat memacu sistem pendidikan negara menjadi lebih terbuka dan bersedia menghadapi persekitaran pendidikan yang pesat pada masa kini.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Anuar Ahmad berkata kepelbagaian format pentaksiran itu membolehkan murid dinilai secara adil, mengikut kesesuaian setempat.
“Misalnya di Kuala Lumpur, mungkin format yang terbaik adalah pentaksiran dalam bilik darjah, tetapi ada negeri dan kawasan terdapat murid terlalu ramai, guru tidak mencukupi atau keadaan setempat yang tidak mengalakkan aktiviti berlaku dalam bilik darjah, ia menjadikan pentaksiran seperti itu kurang berkesan.
“Maka, format pentaksiran seperti UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) itu mungkin lebih berkesan untuk membuat pentaksiran kemajuan anak-anak kita,” katanya pada program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Sarawak untuk merangka sistem penilaian sendiri bagi murid tahun enam di semua sekolah kerajaan di negeri itu bagi menilai prestasi sebenar murid yang diumumkan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pada bulan lepas.
Cadangan berkenaan mendapat sokongan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang memaklumkan perkara itu tidak bertentangan dengan dasar pendidikan negara, malah seiring dengan hala tuju Kementerian Pendidikan.
Anuar berkata beliau berpandangan kepelbagaian kaedah pentaksiran juga tidak akan menyebabkan terdapat perbezaan penguasaan ilmu antara kumpulan murid yang dinilai melalui pentaksiran berasaskan sekolah ataupun pentaksiran yang seumpama UPSR.
Beliau bekata ini kerana secara umumnya, matlamat setiap sekolah rendah adalah bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai asas ilmu yang kukuh seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira sebelum meneruskan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.
“Mungkin perkara ini menjadi isu buat masa ini, tetapi saya yakin seperti mana negara lain yang mengamalkan desentralisasi pendikan, kita akan dapat melihat ia memanfaatkan anak-anak kerana mereka dinilai secara adil berdasarkan keperluan dan kesesuaian di mana sahaja mereka berada,” katanya.
— BERNAMA