Tak boleh balik kampung

KUALA LUMPUR,. Pemain import Liga Malaysia (Liga M) ‘diharamkan’ daripada pulang ke negara asal meskipun saingan liga sedang ditangguhkan ketika ini susulan COVID-19.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan larangan itu antara pendekatan yang diambil mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan selaras dengan arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan, semalam.

“Pemain asing tidak dibenarkan sama sekali meninggalkan negara ini kerana dikhuatiri mereka tidak dibenarkan masuk semula disebabkan sekatan kemasukan warga asing ke negara ini seperti yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia.

“Pasukan turut dilarang mengadakan latihan dan perlawanan persahabatan selain mengurangkan pergerakan pasukan.

“MFL menggesa semua pihak memberi kerjasama yang baik terutamanya ketika situasi yang mencabar ini dengan mematuhi arahan Pelaksanaan Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia bermula 18 hingga 31 Mac 2020,” kata badan pengendali liga itu.

Dalam masa sama, MFL akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini berhubung sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan selaras dengan arahan kerajaan.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangguhkan semua kejohanan di bawah kelolaan badan induk itu susulan kebimbangan penularan COVID-19.

Perkara itu diumumkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas mengadakan mesyuarat khas bersama semua pihak berkepentingan, Jumaat lalu.

Hamidin bagaimanapun menjelaskan penangguhan semua kejohanan itu bermula, semalam.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )