Syarikat, pengarah didakwa tawar syer keutamaan kepada orang awam bernilai RM15 juta

Syarikat, pengarah didakwa tawar syer keutamaan kepada orang awam bernilai RM15 juta

KUALA LUMPUR,. Sebuah syarikat dan pengarahnya seorang warganegara Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan penawaran syer ‘Islamic Redeemable Preference Share (iRPS)’ kepada orang awam bernilai RM15 juta antara Ogos 2020 hingga Ogos 2021.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan syarikat FGP Ventures Sdn Bhd dan Khemlani Satesh, 62, dihadapkan di mahkamah pada 28 Nov lepas.

Menurut SSM, syarikat itu dan Khemlani mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Aminah Ghazali bagi setiap dua pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah menetapkan 10 Jan 2024 bagi sebutan semula kes.

“Tertuduh antara 30 Ogos 2020 dan 29 Ogos 2021 di syarikat FGP Ventures Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat berhad persendirian menurut syer yang mempunyai alamat perniagaan di Wisma UOA Damansara II, Changkat Semantan, Damansara Heights, di sini, telah mengumpulkan syer keutamaan dan menawarkan kepada orang awam syer syarikat itu dikenali iRPS, iaitu sebuah syarikat persendirian adalah dilarang berbuat demikian.

“Oleh itu, FGP Ventures Sdn Bhd dan pengarah, masing-masing dipertuduhkan dengan dua pertuduhan bagi setiap Seksyen 43(1) dan Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016,” menurut kenyataan itu.

Seksyen 43(1) Akta Syarikat 2016 menyatakan sebuah syarikat persendirian adalah dilarang menawarkan syer syarikat kepada orang awam dan boleh dihukum di bawah Seksyen 43(5) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 pula adalah kesalahan mengumpukkan syer keutamaan syarikat tanpa mempunyai perlembagaan syarikat yang boleh dihukum di bawah Seksyen 90(5) akta sama memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan Mohd Fairuz Othman dan Mohd Iqbal Mohd Yusof manakala syarikat itu dan pengarahnya diwakili peguam Muhammad Hasif Ghazali dan Fithril Hakim Ab Jalil.

“Pihak pendakwaan telah menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan. Setelah mempertimbangkan rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin,” menurut kenyataan itu.

FGP Ventures dan Khemlani telah mendepositkan wang jaminan berkenaan pada hari sama.

SSM memaklumkan kegiatan penawaran saham keutamaan kepada orang awam oleh syarikat persendirian (Sdn Bhd) adalah satu kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016.

“SSM mengambil tindakan pendakwaan seumpama ini sebagai satu bentuk peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.

“Ini bagi memastikan sikap tadbir urus korporat dan pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia,” menurut SSM.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )