Syarikat penerbitan ‘peram’ geran pelaksana berdepan pembatalan insentif

Syarikat penerbitan ‘peram’ geran pelaksana berdepan pembatalan insentif

KUALA LUMPUR,. Syarikat penerbitan yang didapati menyalahgunakan geran diperoleh melalui Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) bakal berdepan dengan tindakan pembatalan insentif berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata geran yang ditawarkan itu khusus untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan serta merancakkan semula industri, dan bukannya bagi penerbit menyimpan ia sebagai ‘stok’.

“Kami mohon penerbit jangan ‘peram’ apabila mereka dapat geran untuk sengaja melambatkan proses penerbitan…kalau ada sebab, tak ada masalah. Kita tak mahu letakkan geran ini sebagai salah satu stok dalam penerbitan mereka.

“…kerana kami tahu ada sesetengah penerbit memang sedia ada projek sedang berjalan dengan stesen televisyen, mungkin mereka dapat di luar daripada pelan PELAKSANA ini, cuma kami mohon kalau mereka sudah stabil, bagilah peluang kepada orang lain,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini hari ini.

PELAKSANA dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah pada Julai lepas, dengan tumpuan membantu dan memberi suntikan dana kepada penggiat industri bermula Julai hingga Disember depan.

Saifuddin dilaporkan berkata suntikan dana tersebut mampu membantu syarikat perfileman untuk meneruskan semula penggambaran selain membayar hutang yang tertangguh setelah tidak dapat menjalankan penggambaran selama berbulan lamanya ekoran pandemik COVID-19.

Ditanya mengenai sambutan terhadap insentif berkenaan, Ahmad Idham berkata ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada syarikat penerbitan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)