Syarikat Penerbangan dan Laluan Baharu Pacu Penerbangan 2024 – MAHB

Syarikat Penerbangan dan Laluan Baharu Pacu Penerbangan 2024 – MAHB

21 Januari 2025, / KUALA LUMPUR: Sektor penerbangan Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada 2024 dengan pengenalan 12 syarikat penerbangan baharu, penyambungan 16 laluan, dan pembukaan 24 destinasi baharu, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam kenyataan hari ini, MAHB memaklumkan bahawa KLIA kekal sebagai hab utama, menerima syarikat penerbangan seperti Air Macau, Iraqi Airways, AirAsia Cambodia, dan Turkmenistan Airlines. Antara destinasi baharu yang diperkenalkan termasuk Almaty, Baghdad, Jaipur, Nairobi, dan Labuan Bajo.

Secara keseluruhan, rangkaian MAHB kini mengendalikan 138 destinasi antarabangsa dan 31 domestik, dengan 73 syarikat penerbangan asing dan enam tempatan. Jumlah keseluruhan pergerakan penumpang mencapai lebih 135 juta, bersamaan 96.1 peratus daripada paras sebelum pandemik.

“Lapangan terbang Malaysia merekodkan 93.8 juta penumpang, manakala trafik antarabangsa meningkat kepada 49.6 juta, bersamaan 93.1 peratus daripada tahap 2019, meskipun terdapat cabaran seperti kelewatan penyerahan pesawat,” kata MAHB.

Bagi trafik domestik, 44.2 juta penumpang direkodkan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Turkiye mencatatkan peningkatan 16.7 peratus dengan 41.9 juta penumpang.

Pada 2025, MAHB menyasarkan untuk memperkenalkan lebih 10 syarikat penerbangan baharu, memfokuskan pasaran Asia dan Eropah, sejajar dengan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kami komited untuk mengukuhkan hubungan global Malaysia dan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” kata Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )