Sumbangan RM10 juta bantu FAM stabilkan bola sepak negara – Hamidin

Sumbangan RM10 juta bantu FAM stabilkan bola sepak negara – Hamidin

PUTRAJAYA,. Sumbangan RM10 juta kerajaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membantu usaha badan induk itu dalam menstabilkan semula industri bola sepak negara yang masih terkesan dengan impak COVID-19.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM melalui tempoh yang sukar termasuk dari aspek kewangan apabila kehilangan beberapa penaja sejak pandemik itu bermula pada awal 2020.

Menurut Hamidin, beliau menyuarakan mengenai perkara itu pada pertemuan kepimpinan FAM bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melakukan kunjungan hormat di Bangunan Parlimen pada November lepas.

“Jadi itu (sumbangan) memang akan digunakan untuk FAM keseluruhannya dan pasukan kebangsaan. Saya akan bincang dengan Exco mengenai apa yang perlu dibuat.

“Kita (FAM) pun sebelum ini kehilangan penaja dan kita tengah mencari penaja baharu, jadi sumbangan ini dapat membantu FAM untuk jalankan apa jua usaha kerana betapa sukarnya kita sejak 2020,” katanya pada sidang media majlis pecah tanah ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan majlis pecah tanah ibu pejabat baharu FAM itu.

Ismail Sabri dalam ucapannya sempena majlis itu mengumumkan kerajaan akan menyumbang RM10 juta kepada FAM tahun ini sebagai sokongan untuk pembangunan bola sepak negara.

Beliau berharap ia dapat membantu FAM melahirkan pemain berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sumbangan diumumkan perdana menteri itu adalah tambahan daripada peruntukan yang diluluskan di Parlimen melalui Bajet 2022.

“Alhamdulillah pengumuman tadi berita baik bukan sahaja kepada FAM tetapi kepada seluruh peminat bola sepak negara ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )