Sukuk Prihatin RM500 juta dilancar

Sukuk Prihatin RM500 juta dilancar

PUTRAJAYA,. Penerbitan Sukuk Prihatin RM500 juta yang merupakan sukuk digital pertama Malaysia dan patuh syariah dilancarkan semalam, boleh dilanggan dengan pelaburan minimum RM500 serta tiada had maksimum langganan ditetapkan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sukuk itu diterbitkan hasil permintaan pelbagai pihak untuk turut sama membantu dalam usaha pemulihan negara dan ia boleh dilanggan atau dibeli seratus peratus melalui perkhidmatan perbankan digital, menggunakan kemudahan JomPAY dan DuitNow.

“Kadar keuntungan adalah dua peratus setahun, selama dua tahun. Ini merupakan satu kadar yang kompetitif memandangkan ia ditetapkan selama dua tahun. Keuntungan akan dikreditkan ke dalam akaun pelabur setiap suku tahun,” kata Tengku Zafrul ketika berucap pada majlis pelancaran Sukuk Prihatin di sini.

Pelancaran Sukuk Prihatin itu disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Seri Paduka juga berkenan menjadi pelabur terawal untuk sukuk berkenaan.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, tempoh langganan Sukuk Prihatin bermula hari ini hingga 17 September depan dan keuntungan akan dibayar setiap suku tahun serta dikecualikan cukai.

Kementerian Kewangan berkata sukuk itu merupakan instrumen patuh syariah berlandaskan prinsip Tawarruq melalui pengaturan Komoditi Murabahah untuk warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Maybank merupakan bank pengedar utama bagi sukuk itu.

Tengku Zafrul berkata Sukuk Prihatin ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilancarkan oleh perdana menteri pada 5 Jun lalu.

“Di dalam strategi 6R Kerajaan yang merangkumi enam pendekatan iaitu “Resolve; Resilience; Restart; Recovery; Revitalise dan Reform”, hasil penerbitan sukuk ini akan digunakan untuk langkah “Pemulihan” atau Recovery, iaitu pendekatan yang keempat,” katanya.

“Sukuk ini diharapkan dapat membantu usaha menjamin kesejahteraan hidup pihak berkepentingan yang disasarkan,” ujar Tengku Zafrul.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata langganan daripada terbitan Sukuk Prihatin itu akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang COVID-19, yang akan membiayai program-program bagi manfaat pihak yang terkesan oleh COVID-19.

Antaranya, menambah baik kesalinghubungan kepada sekolah-sekolah luar bandar, membiayai perusahaan kecil dan sederhana serta mikro terutama usahawan wanita dan menampung geran penyelidikan penyakit-penyakit berjangkit. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )