Sukma ke-20 MSN 2022 terima tajaan lebih RM5 juta

Sukma ke-20 MSN 2022 terima tajaan lebih RM5 juta

KUALA LUMPUR,. Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022 menerima tajaan lebih RM5 juta daripada 14 syarikat tempatan, bagi menjayakan acara yang bakal berlangsung dari 16 hingga 24 September ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersyukur, kerana usaha strategik dilakukan bersama rakan penaja dapat menyaksikan penganjur bukan sahaja menerima tajaan berbentuk wang tunai, malah barangan dan perkhidmatan sepanjang temasya sukan tersebut.

“Saya yakin usaha strategik bersama rakan penaja akan sentiasa diperkukuhkan selepas ini.

“Di kesempatan ini juga saya menyeru syarikat korporat lain untuk turut sama (menaja), bukan sahaja Sukma namun kejohanan sukan lain juga,” katanya pada sidang media majlis pengenalan penaja Sukma ke-20 MSN 2022 di sini, semalam.

Ahmad Faizal pada masa sama turut yakin dengan keupayaan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengelolakan Sukma, walaupun mendapat hak menganjurkannnya pada akhir tahun lepas selepas Johor yang sepatutnya menganjurkan edisi kali ini, meminta penangguhan menjadi tuan rumah kepada tahun 2024.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata pihaknya sedia menjadikan Sukma kali ini sebagai medan bagi mengembalikan angkat berat ke dalam sukan teras.

Bagaimanapun, beliau meminta angkat berat meneruskan momentum kecemerlangan termasuk pencapaian dilakar pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham, dalam mana-mana kejohanan mahupun temasya sebelum sukan berkenaan benar-benar layak diangkat semula ke dalam sukan teras.

Dalam saingan di Pusat Pameran Nasional (NEC) Birmingham, skuad bimbingan Yon Haryono itu meraih emas menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55 kilogram (kg) dan Muhamad Aznil Bidin (61kg) manakala Muhammad Erry Hidayat menyumbang perak dalam kategori 73kg.

Angkat berat menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras negara, selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, susulan prestasi sukan angkat berat yang semakin merosot serta pelbagai masalah disiplin, seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.

Edisi ke-20 Sukma menyaksikan lebih 31 jenis sukan dipertandingkan, membabitkan penganjuran 426 acara di beberapa lokasi pilihan termasuk sekitar Lembah Klang, Nilai dan Langkawi.

Hampir 9,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen bertanding, telah mengesahkan penyertaan untuk temasya sukan itu kali ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )