Sukan SEA: Pemilihan atlet agak terhad – PABM
KUALA LUMPUR,. Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berdepan pemilihan atlet yang agak terhad bagi mewakili negara pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, pada 5 hingga 17 Mei ini.
Naib Presiden PABM Amirul Hamizan Ibrahim berkata situasi itu berpunca selepas ketiadaan atlet berpotensi dari Terengganu dan Perlis susulan isu doping yang melanda kedua-dua negeri tersebut, tahun lepas.
“Kami faham mereka masih ada masalah doping jadi kami ketepikan dahulu atlet dari dua negeri itu.
“Sehingga kini Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) masih belum panggil untuk jatuhkan hukuman, jadi kami masih tidak mengetahui status atlet terlibat,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) bersama MSN, di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, tiga atlet angkat berat — dua dari Terengganu dan seorang dari Perlis – termasuk seorang berusia 16 tahun disahkan positif penggunaan bahan terlarang jenis Metandienone, Tebutaline dan Oxymetholone sebelum Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 berlangsung pada 16 hingga 24 Sept tahun lepas.
Susulan itu, PABM mengundur diri daripada mengendalikan acara angkat berat Sukma, menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil alih sendiri pertandingan, namun sebarang rekod dicipta tidak diiktiraf.
Semalam, PABM meletakkan sasaran awal bagi atletnya untuk meraih pingat gangsa pada temasya di Phnom Penh menerusi dua badangnya, Muhammad Erry Hidayat dan Muhammad Hafiz Shamsuddin.
— BERNAMA