Sukan SEA: Atlet, pegawai mesti patuhi SOP ditetapkan

KUALA LUMPUR,. Atlet dan pegawai ke temasya Sukan SEA Hanoi sekali lagi diingatkan supaya tidak mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Vietnam dan kontinjen negara bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 di sana.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sekiranya terdapat atlet atau pegawai dijangkiti wabak itu, mereka perlu segera mengikut SOP yang disediakan oleh pihak kontinjen termasuk menjalani kuarantin seperti juga ditetapkan negara berkenaan.

Beliau berkata ia merupakan antara langkah terpenting supaya wabak itu tidak merebak kepada individu lain sekali gus berpotensi menjejaskan tahap kesihatan keseluruhan kontinjen.

“Kita telah menyediakan SOP sendiri untuk pastikan jika ada atlet kita yang dijangkiti virus berkenaan, pertamanya tidak menjangkiti atlet lain kerana mereka tinggal dalam perkampungan sama dan juga tidak menjangkiti para atlet dari negara lain.

“Jadi tentunya kita perlu pastikan kita ikut SOP yang telah ditetapkan sendiri dan patuhinya dengan ketat termasuk SOP negara berkenaan (Vietnam),” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil pada Rabu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Datuk Nur Azmi Ahmad memberi amaran akan menghantar pulang mana-mana atlet atau pegawai yang didapati mengabaikan SOP ketika di Hanoi.

Terdahulu, pada sidang media sama Ahmad Faizal memaklumkan sasaran kontinjen negara di temasya sukan dwitahunan itu, yang bermula 12 hingga 23 Mei ini, ialah 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa.

Beliau juga berkata hampir kesemua atlet negara menunjukkan semangat yang tinggi untuk menggalas cabaran di Hanoi biarpun terpaksa menyambut Aidilfitri dalam gelembung sukan di MSN.

Ahmad Faizal berkata bagi menghilangkan kerinduan, para atlet bukan sahaja digalakkan menghubungi ahli keluarga malah keluarga juga dibenarkan menziarahi mereka dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Namun ramai yang berpendirian tidak mahu keluarga datang kerana mereka ingin benar-benar fokus… tidak langsung memikiran tentang Syawal yang bakal menjelang tiba sebaliknya mahu berikan aksi yang terbaik dan bawa pingat pulang ke tanah air,” katanya.

Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi dibarisi 859 orang terdiri daripada 584 atlet, 217 pegawai dan 58 pihak sekretariat dengan penyertaan dalam 37 jenis sukan daripada keseluruhan 40 membabitkan 338 acara daripada keseluruhan 526 yang dipertanding.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )