
Subsidi RON95 wajar disalur ikut kaedah SARA – Penganalisis
KUALA LUMPUR: Kejayaan penggunaan MyKad dalam program bantuan kewangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membuktikan sistem itu berkesan dan wajar digunakan dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95, demikian menurut pandangan penganalisis.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata keberkesanan sistem data dinamik itu dalam menyalurkan bantuan kewangan bulanan dan melihat kuasa beli rakyat di peringkat akar umbi, membuka ruang untuk pelaksanaan mekanisme serupa bagi menyalurkan subsidi RON95 secara lebih bersasar.
Beliau berkata, walaupun dijangka mencabar, kerajaan disaran meneruskan penggunaan sistem itu bagi memastikan bantuan yang diberikan lebih berkesan dan adil.
“Kerajaan wajar diberi peluang menggunakan sistem yang sama untuk segmen subsidi terbesar sekali, iaitu RON95 yang dijangka lebih mencabar walaupun 90 peratus rakyat Malaysia dijangka tidak terjejas dengan perubahan besar perbelanjaan mereka nanti.
“Penggunaan MyKad mempunyai kelebihan kerana sistem pengenalan diri Malaysia itu mempunyai teknologi yang hebat dan diperakui semua pihak. Ia juga boleh mengelak ketirisan,” katanya kepada BH.
Melalui bantuan SARA, penerima mendapat elaun bulanan secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad untuk membeli barang keperluan asas terpilih secara tanpa tunai.
Kaedah penggunaan MyKad untuk bantuan SARA juga mudah, dengan penerima hanya perlu menunjukkan MyKad untuk pengesahan dan semakan status MyKad penerima bantuan.
Selepas itu, bagi pembayaran, ia juga melalui MyKad dengan penerima bantuan memasukkan nombor pin enam digit untuk mengesahkan transaksi pembelian.
SARA juga membolehkan penerima menyemak status baki dalam akaun MyKad penerima melalui kaedah semakan portal rasmi MyKasih atau aplikasi MyKasih.
Selain SARA, penggunaan MyKad ketika ini juga banyak digunakan dalam Touch n’ Go kerana peranan kad MyKad yang sama iaitu kad pintar tanpa sentuh dan sistem pembayaran elektronik berasaskan kad pintar tanpa sentuh.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, turut berkongsi pandangan sama dengan menyatakan penggunaan MyKad wajar dipertimbangkan sebagai instrumen untuk menyalurkan agihan subsidi bersasar bagi petrol RON95.
Beliau berkata, instrumen dan aplikasi itu boleh digunakan memandangkan rakyat sudah sedia maklum dengan penggunaannya.
Tambahan lagi, katanya, teknologi dalam MyKad itu masih kurang digunakan, justeru ada ruang untuk terus meninjau bagi memanfaatkan sepenuhnya penggunaannya.
“Penggunaan teknologi MyKad secara optimum seharusnya dapat membantu kerajaan dalam merasionalisasikan subsidi bahan api secara efektif.
“Namun, kerajaan juga perlu memastikan mekanisme ini bebas daripada salah guna seperti ada pihak yang mahu mengambil kesempatan dengan menjual penggunaan Mykad ini,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata mekanisme dua harga RON95 melalui MyKad boleh dilaksanakan dengan sistem kuota atau ‘had penggunaan’ berasaskan pendapatan atau keperluan individu.
Beliau berkata, sebagai contoh, rakyat berpendapatan rendah diberi akses kepada harga subsidi penuh dengan pengesahan data melalui MyKad, manakala pengguna melebihi had pendapatan atau kuota dikenakan harga pasaran.
“Selain itu, penggunaan teknologi pengesahan digital (seperti pengesan data masa sebenar) boleh diguna untuk mengelakkan penyalahgunaan, di samping mengekalkan insentif untuk pengguna menjimatkan subsidi.
“Bagi memisahkan subsidi antara rakyat dengan warga asing, sistem MyKad boleh diintegrasikan dengan pangkalan data Imigresen seperti ‘penyasaran dipacu data’.
“Warga asing tanpa MyKad akan membayar harga tanpa subsidi secara automatik melalui pengesahan kad pengenalan antarabangsa atau pasport di stesen minyak,” katanya.