Strategi keluar PKP harus melibatkan dewan dan persatuan perniagaan

Strategi keluar PKP harus melibatkan dewan dan persatuan perniagaan

KUALA LUMPUR, 21 April — Kerajaan perlu melibatkan dewan perniagaan dan persatuan industri dalam menyediakan strategi keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mencari jalan terbaik untuk memudahkan operasi perniagaan.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Ter Leong Yap berkata, walaupun perjalanan ke arah pemulihan akan terus mencabar, sekurang-kurangnya perniagaan akan dapat momentum jika mereka tetap fokus, ditambah pula dengan sokongan daripada kerajaan.

“Kerajaan perlu menyediakan pelan pemulihan ekonomi bagi menstabilkan dan mengubah ekonomi termasuk membantu perniagaan bermula kembali,” katanya, sambil menambah kumpulan pemikir ACCCIM iaitu Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) akan mengemukakan Pelan Pecergasan Ekonomi yang komprehensif kepada kerajaan pada minggu ini.

SERC telah menjalankan kaji selidik pada 13-21 April untuk mendapatkan maklum balas daripada komuniti perniagaan mengenai penyediaan strategi keluar pasca-PKP termasuk menggariskan langkah jangka sederhana serta panjang bagi memastikan pemulihan ekonomi dan kemampanan perniagaan.

Berdasarkan maklum balas tersebut, ACCCIM mencadangkan beberapa langkah jangka pendek, sederhana dan panjang yang meliputi pengurangan kadar cukai pendapatan untuk syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana, disamping mewujudkan pelan pelaburan kebangsaan yang strategik bagi menjana pelaburan swasta, terutamanya pelaburan langsung domestik.

Katanya, hampir separuh daripada 916 syarikat yang dikaji menunjukkan mereka memerlukan lebih daripada enam bulan untuk pulih.

Tambahan pula, hampir 90 peratus perniagaan menjangkakan persekitaran pasca-PKP akan terus mengekalkan persekitaran seperti jarak sosial yang selamat, pemakaian topeng, sanitasi dan lain-lain langkah yang penting untuk menjaga keselamatan awam.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )