Sterling berpindah ke Old Trafford?
LONDON,. Manchester United sedang mempertimbangkan untuk membawa Raheem Sterling sekiranya seteru utama, Manchester City digantung daripada saingan Liga Juara-Juara dimuktamadkan.
Skuad kendalian Pep Guardiola digantung dua tahun bermula Februari lalu kerana secara serius melanggar peraturan kewangan Fair Play.
Namun juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dilihat akan mengemukakan rayuan atas hukuman berkenaan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), minggu depan.
Ketua kelab ketika ini berada dalam situasi bimbang dengan beberapa pemain bintang mereka akan meninggalkan City sekiranya hukuman penggantungan itu kekal.
Media melaporkan United sedar akan situasi dihadapi dan tampak sedang mengintai Sterling yang berusia 25 tahun.
Pada Februari – tidak lama selepas penggantungan disahkan – Sterling pernah bergambar dengan jersi Real Madrid untuk sebuah akhbar Sepanyol.
Ia seakan menunjukkan betapa ketua Real mempunyai perancangan untuk mendapatkan pemain berkenaan dengan bidaan nilai 180 juta pound (RM967 juta).
Begitupun terdapat satu lagi laporan yang mendakwa tiada seorang pun di United yang menjangkakan Sterling akan berpindah ke luar Manchester.
Selain itu, ada juga dakwaan yang menyatakan ‘sekiranya boleh, United akan mendapatkannya – walaupun pemain itu tampak akan lebih memihak ke Bernabeu.
Beberapa bulan lalu, Ejen Sterling, Aidy Ward menjelaskan yang Sterling mahu terus berada di Etihad.
Dia berkata: “Raheem, jelas memberi tumpuan kepada Manchester City dan tidak akan terganggu dengan apa juga ura-ura pemindahan ke kelab lain ketika ini.”
Februari lalu juga, Sterling pernah diajukan soalan mengenai kemungkinan dirinya menyertai Real pada masa akan datang namun berkata, dia ketika ini gembira berada di City.
“Ia adalah antara perkara itu… buat masa ini saya berada di City dan sangat gembira. Namun saya boleh katakan, Real Madrid adalah kelab yang menarik. Apabila kamu melihat jersi putih, kamu tahu apa yang kelab mahukan. Ia sesuatu yang menarik.
“Namun buat masa ini, saya mempunyai kontrak dengan City dan saya menghormatinya. Ia sebuah kelab yang menakjubkan,” kata Sterling.
– AGENSI