Status Presiden PBM: Larry Sng digesa hadir mesyuarat AMT bulan depan

Status Presiden PBM: Larry Sng digesa hadir mesyuarat AMT bulan depan

KUALA LUMPUR,. Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Haniza Mohamed Talha menggesa Ahli Parlimen Julau Larry Sng untuk menghadiri mesyuarat khas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pada 3 November ini bagi menjawab persoalan berhubung status presiden parti berkenaan.

Haniza berkata kehadiran Sng akan menjawab persoalan dan tanda tanya berhubung kedudukan Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden PBM yang sah.

“Ini penting bagi menjawab persoalan dan tanda tanya yang dibangkitkan mengenai kedudukan Zuraida sebagai Presiden PBM yang sah, sepertimana yang diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober lepas dan telah diperakui dalam minit mesyuarat AMT ke-6,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Haniza berkata mesyuarat itu termaktub dalam Fasal 21 (1) Perlembagaan PBM yang membolehkan Majlis Tertinggi PBM atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga, satu per tiga daripada keseluruhan ahli Majlis Tertinggi untuk mengadakan mesyuarat bagi menyelesaikan isu tertentu.

Sng dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebooknya semalam berkata tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai presiden parti itu selain memaklumkan akan bertanding menggunakan lambang parti PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Dalam hantaran di akaun Facebook yang sama petang ini, Sng sekali lagi menegaskan beliau masih presiden parti yang sah seperti dalam rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Sng dipilih sebagai presiden pada mesyuarat khas persidangan agung parti itu bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )