Standard Zii Jia sekurang-kurangnya separuh akhir – Selvaraj

Standard Zii Jia sekurang-kurangnya separuh akhir – Selvaraj

KUALA LUMPUR,. Standard bagi pemain seperti taraf Lee Zii Jia adalah sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke separuh akhir atau akhir mana-mana kejohanan yang disertainya, kata bekas pemain kebangsaan Datuk James Selvaraj.

Memandangkan perseorangan nombor dua dunia itu dianggap antara pemain handalan antarabangsa, Selvaraj berkata tersingkir pada pusingan awal adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Justeru, Selvaraj mengakui beliau kecewa apabila pemain profesional itu gagal melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand pada 7-11 Dis ini.

“Zii Jia sepatutnya beraksi pada Jelajah Dunia Akhir BWF tapi sayangnya beliau tidak dapat mencapai matlamat utama untuk berada di Bangkok.

“Beliau tidak boleh kalah pada pusingan pertama atau kedua, beliau mesti cuba untuk mencapai sekurang-kurangnya separuh akhir,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Semalam Zii Jia ditundukkan 22-20, 15-21, 16-21 oleh pemain China, Lu Guang Zu dalam perlawanan 70 minit pada pusingan kedua Terbuka Australia 2022 di Quay Centre di Sydney.

Keputusan itu bermakna atlet berusia 24 tahun tersebut kekal pada kedudukan kesembilan dalam ranking Jelajah Dunia Akhir BWF dengan 54,930 mata, manakala Guang Zu meraih tangga kelapan dengan 56,310 mata.

Hanya perseorangan dan beregu dalam kedudukan lapan teratas layak ke kejohanan itu.

Daripada 12 kejohanan yang disertainya tahun ini, Zii Jia merangkul dua kejuaraan berturut-turut iaitu Kejohanan Badminton Asia di Manila dan Terbuka Thailand pada Mei, selain muncul naib juara Terbuka Denmark bulan lepas.

Beliau mara ke separuh akhir dalam tiga kejohanan, melangkah ke suku akhir sekali dan lima kali tersingkir awal termasuk ketika dikejutkan oleh Zhao Jun Peng dari China, 19-21, 21-11, 19-21 dalam pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Tokyo pada Ogos.

Zii Jia juga mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi pemain profesional awal tahun ini, sebelum memutuskan untuk tidak menyertai Sukan Komanwel Birmingham, Julai lepas.

Kini, setelah usai musim, Selvaraj menasihati Zii Jia supaya merangka semula perancangannya dengan membetulkan semua kesilapan yang menjadi punca persembahan tidak konsisten pemain dari Kedah itu sepanjang tahun ini.

“Beliau perlu memanfaatkan tempoh rehat ini untuk berbincang dengan pasukannya bagi mengenal pasti masalah sebenar dan menganalisis permainannya musim ini.

“Zii Jia ialah seorang pemain yang bagus, penting baginya untuk konsisten dan mengekalkan tahap permainannya sendiri selepas ini,” kata bekas jurulatih berusia 71 tahun itu.

Selvaraj turut mengingatkan Zii Jia bahawa beliau boleh kehilangan penajaan jika sering kalah pada pusingan awal.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )