SPRM punyai kuasa siasat hakim

SPRM punyai kuasa siasat hakim

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, agensi itu mempunyai kuasa untuk menyiasat mana-mana pegawai badan awam setelah menerima laporan atau aduan rasmi.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah diberikan kuasa, untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta tersebut.

“Pegawai badan awam ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, Ahli Parlimen dan ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri.

“Selain itu, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan, jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan SPRM itu dikeluarkan susulan kritikan yang diterima agensi itu setelah ia mengesahkan membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa menerima sejumlah wang.

Kenyataan itu memaklumkan, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

“SPRM juga telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.

“Berhubung siasatan terhadap hakim tersebut, SPRM telah menerima satu aduan pada 15 Mac lalu disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April lepas. Siasatan ini masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan, apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan.

“Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )