‘Speedy Tigers’ mula persediaan ke trofi Juara-juara Asia

‘Speedy Tigers’ mula persediaan ke trofi Juara-juara Asia

KUALA LUMPUR,. Skuad hoki lelaki kebangsaan akhirnya dapat turun menjalani latihan pasukan pada hari ini, selepas lebih tiga bulan berehat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penyebaran wabak COVID-19.

Seramai 31 pemain, termasuk tujuh daripada skuad junior, telah menjalani sesi latihan hari pertama dalam dua kumpulan berbeza di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Penolong jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata peringkat awal latihan akan tertumpu untuk meningkatkan motivasi pemain selepas hanya menjalani latihan di rumah sejak Mac lepas.

“Kebanyakan pemain sangat teruja hendak pegang kayu hoki, tapi kita manusia, tak sempurna, jadi ada yang rasa macam berat nak datang latihan. Inilah tujuan latihan, dalam seminggu pasti okey, ada motivasi semula.

“Hari ini pun boleh lihat dari teknikal dan skil teruk. Tetapi kita akan bertambah baik dari hari ke hari, dan menambah sesi lain kemudian seperti ujian kecergasan,” katanya kepada pemberita.

Mohd Nasihin dan seorang lagi penolong jurulatih, Mohd Amin Rahim diberikan tanggungjawab melatih skuad ‘Speedy Tigers’ itu sehingga ketua jurulatih, Roelant Oltmans selesai menjalani kuarantin selepas kembali dari Belanda pada Isnin lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Datuk Ahmad Najmi Abd Razak berkata, penting buat skuad negara memulakan latihan seawal yang mungkin untuk berada dalam keadaan bersedia mengharungi saingan Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November.

Ini kerana Malaysia tidak pernah muncul juara sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2011, walaupun menamatkan saingan di tempat ketiga dalam kesemua lima edisi.

“Selepas tiga bulan berehat, kita tak nak desak pemain untuk elak kecederaan. Para jurulatih pun telah merangka pelan yang rapi untuk memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik menjelang kejohanan itu,” katanya.

Kejohanan Trofi Juara-juara Asia menjadi satu-satunya kejohanan bagi tahun ini, selepas Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh dibatalkan ekoran kebimbangan penularan COVID-19.

Pemain skuad ‘Speedy Tigers’ hadir ke latihan dari rumah masing-masing manakala pemain skuad remaja lelaki dan wanita yang akan memulakan latihan bermula Ahad, akan menetap di Casa, MSN, tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )