Southern Cable mahu kumpul RM71.2 juta daripada penyenaraian Pasaran ACE
KUALA LUMPUR,. Southern Cable Group Bhd mahu disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 16 Okt ini, dengan harga terbitan 34 sen sesaham.
Pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu hari ini, pengeluar kabel dan wayar itu berharap dapat mengumpul RM71.2 juta melalui tawaran awam permulaannya (IPO).
Menurut prospektus itu, hasil kutipan sebanyak RM18.5 juta itu akan dipakai bagi membeli dan menaik taraf jentera serta peralatan, RM7.5 juta untuk membina kilang baharu dan RM4.0 juta bagi membiayai pembelian termasuk pemasangan sistem teknologi maklumat perancangan sumber perusahaan (ERP).
“Di samping itu, RM27.5 juta lagi akan diketepikan sebagai modal kerja, manakala RM9.2 juta sebagai pembayaran balik pinjaman bank,” katanya, sambil menambah RM4.5 juta akan digunakan untuk membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian dan RM30 juta bagi perbelanjaan dan pengembangan modal.
Syarikat itu juga merancang untuk membayar dividen minimum sebanyak 15 peratus daripada keuntungan bersihnya, selepas penyenaraian.
Sementara itu, semasa sidang media, Pengurus Besar Kumpulan Ooi In Keong menjelaskan pada masa ini, syarikat berkenaan sedang membina dua kilang pembuatan kabel dan wayar di Kuala Ketil, Kedah.
“Dengan jentera dan mesin baharu ini, kedua-dua kilang akan mampu mengembangkan kapasiti pengeluaran kabel dan wayar sebanyak 9,050 kilometer (km) kepada 40,130 km menjelang separuh pertama 2022 berbanding kapasiti pengeluaran tahunan kami pada 2019 iaitu hanya 31,080 km,” katanya.
Bagi menyokong kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi, syarikat itu juga sedang menubuhkan kilang pengeluaran kompaun “polivinyl chloride” (PVC) baharu bersebelahan kilang semasanya di Sungai Petani, Kedah, yang juga dijangka siap menjelang separuh pertama 2022.
“Kami mahu kapasiti pembuatan bahan sebatian PVC kami meningkat sebanyak 4,200 tan kepada 12,000 tan setahun,” katanya.
Tambahnya, kilang-kilang tersebut akan digunakan bagi mengeluarkan rangkaian produk baharu seperti kabel dan wayar automotif termasuk kabel konduktor aluminium voltan tinggi tahan haba.
Sekarang ini, kabel dan wayar Southern Cable digunakan dalam pelbagai sektor industri seperti pengagihan tenaga, telekomunikasi, bangunan, pembinaan, infrastruktur, industri pembuatan, pemprosesan, termasuk pemprosesan minyak dan gas serta loji petrokimia.
Pelanggan utamanya terdiri daripada Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Syarikat itu juga membekalkan produknya untuk projek Transit Aliran Massa Sungai Buloh-Kajang (MRT1) serta projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.
Menurut Pengarah Urusan Tung Eng Hai, syarikat akan terus mengambil bahagian secara agresif dalam sebarang tender yang diumumkan oleh syarikat berkaitan kerajaan.
Ooi ketika mengulas mengenai tempahan dalam tangan syarikat itu memberitahu setakat 1 Sept 2020, tempahan dalam tangan Southern Cable berjumlah RM405 juta, yang boleh bertahan sehingga 2022.
Sehingga kini, syarikat itu menguasai hampir enam peratus pasaran kabel dan wayar di Malaysia.
Kata Ooi lagi, pasaran Malaysia akan kekal sebagai fokus utama mereka memandangkan pasaran tempatan mewakili 87.91 peratus, 98.06 peratus dan 98.40 peratus daripada jumlah hasil syarikat, masing-masing bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2020, 31 Dis, 2019 dan tahun kewangan 2018.
— BERNAMA