SOP kemasukan pelancong asing ke Malaysia kekal setakat ini

SOP kemasukan pelancong asing ke Malaysia kekal setakat ini

SEPANG,. Prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong asing di semua pintu masuk antarabangsa adalah kekal setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata sebarang keputusan berhubung SOP baharu hanya akan dibuat berlandaskan data terkini COVID-19.

Saifuddin juga menjelaskan SOP yang dikenakan kepada pelancong yang tiba di Malaysia termasuk dari negara China adalah sama dengan ketibaan dari negara-negara lain.

“Tentulah tidak bijaksana untuk selektif dan saya fikir tidak tepat untuk negara ambil pendirian begitu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan kepentingan menjaga keselamatan rakyat daripada sebarang ancaman kesihatan termasuk wabak COVID-19.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia tidak mendiskriminasi mana-mana negara dalam menjalankan pemeriksaan COVID-19 terhadap pelancong yang tiba di negara ini, namun mahu memastikan kesihatan rakyat adalah keutamaan.

Menurut Perdana Menteri, kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen juga diperketatkan bagi memantau kemasukan rakyat asing ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pelancong yang dikenal pasti mengalami demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa doktor bertugas.

“Kalau suhu 37 darjah celsius, mereka letak (pelancong) di point khusus untuk buat semakan, kalau kekal dengan rekod tanda-tanda iaitu positif…terus dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Mengenai pemeriksaan di kaunter Imigresen di KLIA hari ini, beliau secara keseluruhan berpuas hati kerana semua pelancong mematuhi SOP sedia ada.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )