Solat hajat untuk Palestin di Wilayah Persekutuan dari 15 hingga 21 Jun

Solat hajat untuk Palestin di Wilayah Persekutuan dari 15 hingga 21 Jun

KUALA LUMPUR,. Solat sunat hajat, doa selamat dan bacaan ‘Qunut Nazilah’ akan dilaksanakan di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Zon Hijau seluruh Wilayah Persekutuan selepas solat Maghrib bermula dari 15 hingga 21 Jun serta selepas solat Jumaat pada 19 Jun.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata sebagai menjunjung titah perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin, JAWI menetapkan seluruh masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Zon Hijau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk menganjurkan ibadat itu pada waktu dan tarikh berkenaan.

“Pelaksanaannya adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan sebelum ini.

“Umat Islam juga disaran berdoa agar wabak COVID-19 yang melanda negara segera berlalu serta kesejahteraan kepada seluruh rakyat Palestin, dilindungi tanah air serta dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )