Skuad pantas LUAS lakukan rondaan 24 jam sehari elak pencemaran

Skuad pantas LUAS lakukan rondaan 24 jam sehari elak pencemaran

SHAH ALAM,. Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang secara rasminya ditubuhkan dan beroperasi bermula Selasa akan melaksanakan pemantauan 24 jam setiap hari di kawasan-kawasan sensitif dalam menangani masalah pencemaran sumber air mentah.

LUAS dalam satu kenyataan di sini pada Rabu memaklumkan skuad berkenaan akan memantau sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

Tambah kenyataan itu lagi, penubuhan Skuad Pantas LUAS berkenaan adalah selari dengan peruntukan Belanjawan Negeri Selangor 2021.

“Pemantauan 24 jam tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air negeri Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara, skuad ini juga merupakan urus setia kepada Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor yang bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan segera kawalan kecemasan sumber air selaras dengan Manual Pelan Tindakan Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor.

“Fasa pertama penubuhan skuad ini diterajui seramai 15 kakitangan dan akan ditingkatkan sehingga 28 orang yang akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan seperti Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.

(AIR Selangor), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi-agensi lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu skuad berkenaan akan menggunakan dua pendekatan dalam usahanya mencegah pencemaran iaitu, rondaan 24 jam ke kawasan-kawasan sensitif dan yang dikenal pasti di lembangan sungai-sungai utama yang membekalkan sumber air kepada muka sauk LRA dan pemantauan statik (pensampelan in-situ) yang akan dilaksanakan di kawasan strategik berisiko yang dikenal pasti.

“Pensampelan berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga akan dilaksanakan bagi pemantauan status kualiti air seterusnya perancangan meningkatkan lagi tahap kualiti sumber air sungai-sungai utama negeri.

“Kerajaan Selangor melalui LUAS sentiasa komited dalam memastikan insiden pencemaran dapat dikekang dan ditangani dengan segera agar LRA beroperasi sebaiknya dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat dielakkan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)