Skuad ‘City Boys’ dijangka mulakan latihan pada Rabu

Skuad ‘City Boys’ dijangka mulakan latihan pada Rabu

KUALA LUMPUR,. Pasukan Kuala Lumpur dijangka memulakan latihan padang bermula Rabu depan dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata pemain skuad ‘The City Boys’ itu akan menjalani ujian swab COVID-19 terlebih dahulu pada pagi Isnin.

“Keputusan ujian dijangka diperoleh dalam masa 48 jam… selepas semua didapati negatif, baru kita akan memulakan latihan. Pemain mungkin akan dipecahkan dalam empat kumpulan berbeza kerana latihan tidak boleh melebihi 10 orang pada satu-satu masa.

“Setiap kumpulan akan menjalani latihan pada waktu yang berbeza dan individu lain tidak dibenarkan berada di venue latihan iaitu Stadium KLFA, Cheras. Antara aspek yang diberi penekanan ialah jarak sosial tiga hingga lima meter seperti yang ditetapkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu SOP terperinci mengenai latihan bola sepak daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MFL dalam masa terdekat.

Mengakui pematuhan SOP bukan sesuatu yang mudah, Nokman berkata pihaknya akan memastikan ia dipatuhi pada setiap masa demi kebaikan semua pihak selepas latihan bola sepak tanpa kontak dibenarkan bermula Isnin depan.

Kuala Lumpur menduduki tempat keempat Liga Premier dengan lapan mata selepas menang dua perlawanan dan seri dua kali sebelum saingan Liga Malaysia ditangguh pada 16 Mac berikutan penularan pandemik COVID-19.

Liga Malaysia dijangka bersambung pada September ini dengan hanya melibatkan satu pusingan sekiranya mendapat kelulusan daripada kerajaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )