Sistem perolehan pasukan keselamatan perlu dirombak agar lebih telus – Anwar
PUTRAJAYA,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pasukan khas akan diwujudkan bagi mempercepatkan kelulusan perolehan untuk pasukan keselamatan negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican telah diminta memantau pasukan itu bagi memastikan semua kelulusan dipercepatkan.
Berucap pada majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini, beliau berkata sistem perolehan untuk pasukan keselamatan negara perlu dirombak agar lebih telus.
“Minggu lepas, saya ada perbincangan santai dengan rakan di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan badan penguatkuasaan. Tentunya semua menuntut perbelanjaan lebih besar kerana kelengkapan pertahanan terbiar.
“Sistem perolehan agak lemah, nama sistem perolehan tetapi tidak diperoleh. Dia banyak ketirisan… jadi faktanya apa? Ia harus dirombak dan lebih telus, biar golongan profesional berikan pandangan dan kita nilai dari segi Kementerian Kewangan,” katanya.
Meskipun telah memasuki akhir tahun, Anwar berkata kelulusan perolehan untuk pasukan keselamatan negara wajib disegerakan untuk mereka melaksanakan tugas dengan baik.
“Walau akhir tahun, kita berikan keputusan (kelulusan) agar mereka teruskan kerja,” katanya.
Sementara itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Kewangan yang menurutnya telah bekerja sebagai satu pasukan dalam tempoh setahun ini untuk membangunkan negara.
— BERNAMA