Sindiket pelaburan: 672 laporan diterima, kerugian lebih RM98 juta

Sindiket pelaburan: 672 laporan diterima, kerugian lebih RM98 juta

KUALA LUMPUR,. Polis menerima sejumlah 672 laporan melibatkan kes penipuan pelaburan bersindiket dengan jumlah kerugian lebih RM93 juta bagi tempoh awal Januari tahun ini sehingga semalam, kata pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, 467 kes membabitkan pelaburan dalam talian sementara baki 267 melibatkan pelaburan secara bersemuka.

“Bagi pelaburan dalam talian sahaja mencatatkan sebanyak lebih RM52 juta kerugian…mangsa lazimnya dihubungi melalui Facebook, Wechat, WhatsApp oleh online trader yang pakar dalam bidang mata wang kripto, binary option dan forex didalangi sindiket.

“Kebanyakan sindiket ini didapati menawarkan beberapa pakej yang menjanjikan keuntungan lumayan sehingga 13 kali ganda daripada modal dilaburkan dalam masa satu hingga dua hari. Sindiket kemudiannya akan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun individu atau syarikat,” katanya dalam sidang media khas di sini.

Menurutnya, sindiket kemudiannya akan menunjukkan jumlah keuntungan dalam satu platform bagi meyakinkan mangsa yang akan berakhir dengan mangsa diminta untuk membuat pembayaran lain sebagai syarat menuntut keuntungan itu.

Jelas Saiful Azly, setakat ini sebanyak 13 pelaburan dalam talian dikenal pasti telah digunakan untuk kegiatan menipu mangsa.

“Ia adalah I Rakyat Trade, IQ Option, Global Investment, Wei Jian Zhi, Olymp Trade, AA Anthony, Global Trader, People Global Network, Rakuten Trade, Wine Exchange China, GWFX Global, Private Investment Trade Dubai dan London Stick Exchanges,” katanya. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )