Simpan SSPN raih RM18.85 bilion, 6.54 juta akaun dibuka hingga 31 Ogos 2024
KUALA LUMPUR,. Sebanyak RM18.85 bilion jumlah deposit daripada produk simpanan Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) diterima dengan bilangan akaun berjumlah 6.54 juta sehingga 31 Ogos 2024.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata pencapaian deposit Simpan SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan membanggakan dan prestasi ini membuktikannya sebagai produk simpanan terbaik di negara ini.
“Tahun ini, genap dua dekad usia Simpan SSPN. Tempoh ini bukanlah satu fasa yang singkat.
“PTPTN telah mengharungi pelbagai cabaran untuk memastikan Simpan SSPN terus kekal relevan sebagai produk simpanan terbaik dan berdaya saing di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan bersempena pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 hari ini.
Menurut Norliza, PTPTN menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta bagi BMS 2024 yang berlangsung bermula 26 Sept sehingga 31 Okt, 2024.
“Berdasarkan prestasi kutipan deposit dalam tempoh enam tahun penganjuran BMS, saya optimis BMS 2024 akan mencatatkan kutipan deposit Simpan SSPN yang luar biasa,” katanya.
BMS merupakan program utama PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.
Tahun 2024 merupakan tahun ketujuh penganjurannya sejak 2018.
BMS kali ini bertemakan Fantasi sempena Hari Impian Sedunia yang disambut pada 25 September setiap tahun dan mengekalkan slogan Jom Jadi Superhero Anak Anda.
Tema ini mengangkat idea dan kreativiti untuk merangsang daya imaginasi dan perkembangan fikiran kanak-kanak bagi meneroka ilmu dan pengalaman baharu serta menyerlahkan potensi mereka.- BERNAMA