Siapa H yang Chong Wei tabik?

KUALA LUMPUR,. Sempena Ramadan yang disambut hari ini, Datuk Lee Chong Wei berkongsi kenangannya ketika bergelar pemain pelapis skuad kebangsaan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Bekas jaguh badminton negara itu berkata, dia bersimpati dengan seorang rakannya beragama Islam yang terpaksa menjalani ibadah puasa tetapi dalam masa sama perlu menjalani latihan keras.

Menerusi hantaran yang dibuat di Facebook miliknya, Chong Wei tidak mendedahkan nama sebenar rakannya itu tetapi sekadar menulis H.

“Saya selalu ingat waktu belasan tahun baru masuk Bukit Jalil (SSBJ). Latihan penat gila, matahari terik gila.

“Coach (jurulatih) pula tak tahulah kenapa, gaduh dengan bini atau kalah stok market, marah saja hari itu. Bawa pasukan pemain pelapis termasuk saya terus pergi trek balapan, suruh lari 12km (kilometer). Punyalah panas.

“Sambil saya lari, saya toleh belakang, hati kesian dengan rakan sepasukan muslim H yang usia jambu macam saya. Saya tanya dia ok tak? Dia jawab ok walaupun muka pucat.

“Selepas habis saja 12km, tercangkung duduk di tepi penjuru stadium, minum air sambil basahkan muka disebabkan sangat panas. H pun sampai, ingatkan nak minta air, kita pun sedia nak hulur.

“Namun, dia hanya senyum, basuh muka dan beransur pulang ke hostel. Respek (hormat) sangat.

“Waktu berbuka puasa terlihat wajah kepuasan H apabila terdengar azan. Hormat saya pada dia sampai sekarang tak pernah luntur,” kata Chong Wei.

Perkongsiannya itu sudah mendapat 8,300 tanda suka, 246 komen dan dikongsi 204 pelayar internet dalam tempoh sejam.

Paling hangat diperkatakan pelayar internet di ruangan komen adalah mengenai persoalan siapakah rakan Chong Wei yang digelar H itu.

Rata-ratanya meneka individu itu ialah bekas juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim.

Dalam hantaran yang sama, Chong Wei turut mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia.

“Bulan puasa 2020 memang istimewa. Saya pasti semua rakyat Malaysia akan ingat selama-lamanya dan diceritakan kepada anak cucu nanti pada masa akan datang.

“Walaupun saya tidak menjalani ibadah puasa tetapi saya harap kawan-kawan semua dapat berpandangan positif berpuasa MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) di rumah,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )