Sewa serendah RM20 sehari

Sewa serendah RM20 sehari

KUALA LUMPUR,. Hanya serendah RM20 sehari, golongan muda di Wilayah Persekutuan kini berpeluang menyewa tapak food truck dan kios di lokasi-lokasi strategik Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula Ogos ini.

Ini setelah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota yang memfokuskan anak muda, graduan menganggur serta orang ramai yang kehilangan pekerjaan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif untuk
membantu anak muda dengan mengenal pasti kira-kira 1,122 tempat perniagaan strategik baharu di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan dibuka secara berperingkat.


Tegas beliau, langkah itu sekali gus mengelakkan mereka yang berminat membuka perniagaan haram, tidak sah atau berniaga di kawasan yang tidak maju.

Annuar berkata, melalui kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai untuk kategori perniagaan seperti food truck, kios dan perniagaan bungkusan.

“Selain itu, ada juga tempat yang sesuai untuk dibangunkan kafe moden termasuk kios-kios kecil.

“Kios yang disediakan adalah termasuk kemudahan fasiliti kesesuaian jenis perniagaan dengan reka bentuk yang moden, teratur, kemas dan bersih,” katanya kepada pemberita selepas Program Turun Padang di kawasan River Of Life (RoL) Fasa 2 di Jalan Bunus dan Jalan Masjid India Selasa lalu.

Annuar memberitahu, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk bagi memilih pemohon yang sesuai untuk ditempatkan di lokasi yang akan disediakan.

“Jawatankuasa itu akan menapis permohonan, menentukan siapa dan apa jenis perniagaan yang sesuai untuk ditempatkan di kios-kios itu nanti serta sebahagian premis yang telah dibina DBKL.

“Kita juga akan membuka kios di dalam kompleks beli belah seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk di Berjaya Times Square dan kita turut membenarkan tuan punya bangunan untuk membuat ruang niaga yang mematuhi standard DBKL bagi program ini,” katanya.

Tegas Annuar, beliau tidak akan membenarkan mereka yang telah mempunyai premis perniagaan di tempat lain atau ahli perniagaan yang mahu menambah tempat berniaga kerana program yang diperkenalkan ini adalah khusus untuk usahawan muda.

Annuar menjelaskan, reka bentuk kios itu nanti adalah tertakluk kepada DBKL dan mereka tidak boleh mengubah struktur yang dibina melainkan dengan kebenaran DBKL.

“Mereka tidak boleh datang dan buka payung atau menggunakan struktur seperti setinggan. Reka bentuk tidak boleh mengarut kerana ia dikawal selain kebersihan mesti terjamin dan semua struktur mesti menambah keindahan Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Annuar, sekiranya ada dalam kalangan peniaga dan anak muda ini mempunyai lokasi yang dirasakan strategik untuk berniaga, mereka tidak dibenarkan untuk membuka sendiri sebaliknya perlu berunding dengan DBKL dan ia akan dimudahkan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memberi peluang untuk usahawan muda mendapatkan perniagaan secara francais seperti Tealive, Costa Coffee, 1901, Coolblog, Gloria Jeans Coffee dan lain-lain lagi,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )