
Sesi Permukiman dan Mesyuarat AICHR ke-40 di Langkawi 11-14 Feb: Wisma Putra
KUALA LUMPUR,. Sesi Permukiman dan Mesyuarat Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) ke-40 akan berlangsung selama empat hari mulai 11 Februari 2025 di Langkawi, Kedah, menurut Kementerian Luar Negeri.
“Ini merupakan mesyuarat pertama AICHR di bawah kepimpinan wakil Malaysia ke AICHR dan Pengerusi AICHR 2025 Edmund Bon Tai Soon,” menurut kementerian itu, yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan Isnin.
Antara agenda mesyuarat adalah hak mangsa dan mereka yang terselamat daripada situasi konflik, inisiatif keamanan dan pembangunan keamanan, deklarasi-deklarasi ASEAN yang dicadangkan mengenai hak alam sekitar, pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan dan hak kepada pembangunan, menurut Wisma Putra.
Wakil dari semua Negara Anggota ASEAN akan turut serta, bersama Wakil AICHR dari Timor-Leste yang akan hadir sebagai pemerhati.
Sebagai Pengerusi ASEAN dan AICHR untuk 2025, Wisma Putra mendedahkan Malaysia akan membentangkan bidang keutamaan dan hasil utamanya selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN, “Keterangkuman dan Kemampanan”.
“Tahun ini, Malaysia berhasrat untuk bidang tematik utama seperti hak keamanan, hak pembangunan, perniagaan dan hak asasi manusia, perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim,” menurut kenyataan itu.
Ia bertujuan untuk menangani cabaran hak asasi manusia yang mendesak di rantau ini melalui pendekatan “ASEAN-led” dan “ASEAN-owned” sambil menambah baik rangka kerja institusi AICHR ke arah peralihan menjadi badan yang lebih berorientasikan perlindungan.
Selain itu, Malaysia berhasrat untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti bagi menambah baik proses serta mekanisma AICHR, memperkukuh kerjasama AICHR dengan badan sektoral ASEAN dan rakan dialog, di samping memperkukuh penglibatan dengan organisasi masyarakat sivil, dan meningkatkan keterangkuman melalui dialog dan kerjasama yang berterusan.
Menjelang mesyuarat itu, satu Bengkel Peralihan akan diadakan pada 10 Februari bagi memastikan kesinambungan penyerahan tugas yang lancar antara beberapa Wakil AICHR yang akan tamat perkhidmatan dan Wakil AICHR yang baru dilantik, menurut Wisma Putra.
Bengkel ini akan mengkaji semula inisiatif terdahulu, berkongsi amalan terbaik dan menyelaraskan strategi masa depan.
Ia juga akan menghimpunkan mantan wakil AICHR dan yang akan tamat perkhidmatan bagi mengekalkan momentum dalam inisiatif yang sedang berjalan dan akan datang serta menampilkan dialog dengan organisasi masyarakat sivil yang mempunyai status perundingan dengan AICHR bagi memastikan pelbagai perspektif dimasukkan dalam perbincangan.
“Hasil bengkel ini akan membantu memperkayakan perbincangan AICHR dan memperkukuh komitmen ASEAN terhadap kedaulatan undang-undang, demokrasi, hak asasi manusia, kemampanan dan pembangunan inklusif,” menurut Wisma Putra.