Seorang banduan sah positif COVID-19 – KP Kesihatan

Seorang banduan sah positif COVID-19 – KP Kesihatan

PUTRAJAYA,. Seorang banduan bukan warganegara di penjara Sungai Buloh disahkan positif COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Susulan itu, beliau berkata KKM akan menyaring lebih 800 banduan serta 700 kakitangan di penjara itu.

Katanya banduan itu, yang berada di penjara Sungai Buloh sejak 2016, ditahan sebagai pendatang tanpa izin, dan setelah dibicarakan, dia dijatuhkan hukuman pada hujung Mei, dan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih.

Saringan ujian COVID-19 telah dijalankan sebelum kes dipindahkan ke Depoh Tahanan Imigresen itu dan didapati positif pada 31 Mei.

“Pejabat Kesihatan Daerah Gombak akan menyaring kontak rapat banduan itu serta kakitangan penjara. Jadi ini merupakan proses tindakan kita sekiranya ada individu yang dikesan positif COVID-19 dengan kita akan terus melaksanakan pengesanan pada mereka yang terdedah kepada banduan ini,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata banduan itu kini dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Mengulas isu pelajar tahfiz di Batu Gajah, Perak yang positif COVID-19, beliau berkata seramai 41 orang yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan kontak rapatnya telah disaring dan sedang menjalani kuarantin selama 14 hari di institut awam di Sungkai.

“Kesemua mereka negatif dan kini dikuarantin manakala pelajar tahfiz itu dirawat di hospital dan juga dikuarantin untuk tempoh 14 hari,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )