Selepas aksi tanpa bolos, Kalamullah mahu kekal jersi nombor satu

Selepas aksi tanpa bolos, Kalamullah mahu kekal jersi nombor satu

PETALING JAYA,. Penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang berjaya melakukan debut tanpa bolos bersama skuad Harimau Malaya menerusi kemenangan 4-0 ke atas Kemboja pada Jumaat lepas, berazam untuk bekerja keras bagi terus menyarung jersi nombor satu skuad kebangsaan pada aksi-aksi seterusnya.

Beliau yang bakal beraksi bersama Kedah Darul Aman FC pada musim depan mengakui, walaupun bukan tugas mudah untuk terus menjadi pilihan utama, namun pemain berusia 27 tahun kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu, bertekad membuktikan kemampuannya.

“Tanpa bolos dan kemenangan besar dalam debut memberikan semangat kepada saya untuk terus mempamerkan aksi terbaik dan komitmen tinggi sekiranya terus diberi kepercayaan oleh (Ketua Jurulatih) Kim Pan Gon. Banyak yang perlu saya perbaiki seperti tampil lebih tenang dan fokus.

“Bukan mudah untuk terus menjadi pilihan utama kerana ada Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Rahadiazli Rahalim dan Muhammad Azri Abdul Ghani yang mempunyai kelebihan masing-masing, jadi kena buktikan kemampuan saya kepada barisan jurulatih,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, di sini pada Isnin.

Beliau tidak menafikan turut berasa gementar apabila menggalas tugas menjaga gawang gol negara buat kali pertama pada perlawanan itu, yang sebelum ini menjadi milik Farizal Marlias, namun semua itu dapat diatasi dengan sokongan padu yang diberikan oleh rakan sepasukan.

Farizal merupakan antara 12 pemain yang tidak dapat menyertai kem latihan kali ini atas beberapa faktor.
Sementara itu, tonggak pertahanan muda Muhammad Azam Azmi Murad, 21, berharap untuk mengekalkan momentum kemenangan dalam satu lagi aksi pemanas badan bertemu Maldives, Rabu ini.

“Semua pemain beraksi dengan sangat baik, dan komunikasi dalam pasukan cukup baik. Insya-Allah kita dapat kekalkan aksi tanpa bolos.

Ini merupakan kali kedua saya mendapat panggilan skuad kebangsaan, kali ini saya lebih memahami taktikal dan cara bermain yang barisan jurulatih mahukan,” katanya.

Skuad Harimau Malaya bakal memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF ke atas Myanmar di Yangon pada 21 Dis, diikuti aksi menentang Laos di Bukit Jalil pada 24 Dis, Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Jan).

Skuad Harimau Malaya yang merangkul gelaran juara pada 2010, terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lepas di Singapura.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )