Selangor perkasa PBT, tumpu isu kesihatan awam
GOMBAK,. Selangor sedang meneliti untuk memperkasakan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu bagi memberikan tumpuan yang lebih kepada isu-isu berkait kesihatan awam, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata pihaknya sedang melihat untuk mewajibkan setiap PBT untuk mempunyai seorang doktor yang mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang kesihatan awam selain menjangkakan perkara itu mungkin akan dilaksanakan dalam masa dua tahun lagi.
“Disiplin terhadap kesihatan awam ini berbeza dengan kesihatan secara umumnya iaitu kesihatan akan menumpukan kepada pengukuhan institusi seperti hospital, modernisasi perubatan dan sebagainya, tetapi kesihatan awam ia akan lebih menjurus kepada pembentukan sikap dan komuniti masyarakat.
“Yang ada sekarang ni kita hanya semak kebersihan, premis makanan dan sebagainya sedangkan tugas itu lebih daripada itu dan petugas kesihatan (di Jabatan Kesihatan Negeri – JKN) pula agak terperangkap dalam hal ini kerana mereka mempunya tugas hakiki yang besar di peringkat hospital dan pusat kesihatan.
“…dan kalau mereka juga perlu terlibat dengan urusan kesihatan awam secara tidak langsung adalah tidak wajar mereka terbeban dengan hal itu, jadi saya percaya kalau kita boleh berkolaborasi di antara PBT dengan JKN ini, automatik kita akan mempunyai jaringan kesihatan awam yang lebih baik demi menjamin kesihatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran program Madani Afiat di Dewan Rakyat Batu Caves, di sini hari ini.
Selain itu, Amirudin berkata pihaknya juga telah mengambil keputusan untuk mengembangkan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dengan mendigitalkan rekod kesihatan penggunanya bagi melahirkan rakyat Selangor yang cakna akan status kesihatan, selain memudahkan urusan petugas di mana-mana institusi kesihatan.
“Kerajaan negeri telah membuat keputusan bahawa SELangkah akan menjadi satu ‘data entry point’ untuk rakyat di negeri Selangor pada masa ini dan masa depan.. .Insya-Allah ia akan mula pada tahun hadapan atau akhir tahun ini dan kita bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan hospital-hospital swasta.
“Ia penting kerana akan dapat memberi informasi mengenai maklumat kesihatan (individu), sekali gus akan memendekkan tugas doktor yang mereka tidak perlu ambil langkah awal untuk kenal pasti jenis darah dan sebagainya kerana maklumat itu sudah ada dalam bentuk digital dan boleh digunakan oleh pesakit di mana-mana hospital,” katanya.
Aplikasi itu terdahulu dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor bagi mengekang penyebaran wabak COVID-19 di negeri itu.
— BERNAMA