Selangor garis langkah atasi masalah gangguan air

Selangor garis langkah atasi masalah gangguan air

SHAH ALAM,. Kerajaan Negeri Selangor menggariskan beberapa langkah jangka panjang dan jangka pendek bagi mengatasi masalah pencemaran sungai dalam menangani isu berkaitan gangguan bekalan air yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata antara langkah jangka pendek adalah menambah jumlah penguat kuasa bagi mengawal dua sungai yang dianggap penting iaitu Sungai Langat dan Sungai Selangor sebagai sumber bekalan air di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengesyorkan kepada Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk menambah kira-kira 20 anggota penguat kuasa bagi melakukan rondaan di dua sungai berkenan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan menggunakan teknologi dron bagi memantau dan menganalisis kualiti air. Dron ini juga akan meninjau premis kilang berdekatan sungai sama ada ia berisiko untuk menyebabkan pencemaran di sepanjang 1,000 kilometer sungai berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagi langkah jangka panjang pula katanya, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan penggunaan beberapa jenis teknologi yang boleh menghilangkan pencemaran bau di sungai dan loji rawatan air (LRA) untuk mengelakkan loji terpaksa dihenti operasi.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan pembinaan penghalang bagi menyekat air tercemar daripada masuk ke LRA dan menggantikannya dengan bekalan air daripada Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) 600.

Bagaimanapun kata Amirudin, langkah jangka panjang itu mungkin mengambil masa yang lama untuk dicapai memandangkan kosnya boleh mencecah sehingga ratusan juta ringgit.

Mengulas mengenai desakan pengguna yang terjejas bekalan air menuntut supaya Air Selangor memberikan diskaun untuk bil mereka, Amirudin berkata pihaknya ada berbincang mengenai isu berkenaan, namun menurutnya kerajaan negeri berpendapat jumlah diskaun yang diberikan adalah lebih baik disalurkan kepada perbelanjaan untuk penguatkuasaan dan pemantauan sungai di Selangor.

“Berdasarkan pengiraan, jika diskaun RM2 diberikan kepada setiap pemegang akaun Air Selangor, ia akan melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta. Wang ini lebih baik digunakan untuk Air Selangor mempertingkatkan kemampuannya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” katanya sambil menambah sebanyak lapan kes pencemaran sumber air berlaku pada tahun ini.

Mengulas pula mengenai kecaman sesetengah pihak ekoran kekerapan gangguan bekalan air di Selangor, Amirudin berkata beliau kekal positif dalam mencari penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

“Kita mesti kekal tenang dan selesaikan masalah. Jangan menuding jari dan keluarkan pelbagai teori konspirasi kerana ia pasti akan meningkatkan kemarahan rakyat,” katanya.

Isnin lepas sejumlah 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat LRA Sungai Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran sumber air mentah.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )