Selain fizikal, mental dan kerohanian perlu seimbang – jurulatih skuad memanah

Selain fizikal, mental dan kerohanian perlu seimbang – jurulatih skuad memanah

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR,. Sukan memanah bukan hanya memerlukan kekuatan fizikal semata-mata, namun aspek kerohanian dan keadaan mental yang sihat dan stabil memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi seseorang atlet.

Jurulatih skuad memanah para negara Marzuki Zakaria berkata kedua-dua elemen itu perlu berada dalam keadaan seimbang bagi memastikan atlet memanah dapat fokus ketika beraksi.

“Bukan hanya kekuatan luaran (fizikal) yang perlu dijaga, tetapi kesihatan dalaman seperti mental dan kerohanian juga perlu diberikan perhatian agar ia seimbang.

“Bila kedua-dua elemen ini seimbang, lebih mudah untuk atlet mengawal emosi mereka ketika beraksi. Emosi memainkan peranan penting, kerana jika ada perasaan gentar ketika beraksi, sudah pasti prestasi akan merudum.

“Mereka (atlet) perlu belajar cara untuk mengawal emosi dan tidak campur aduk masalah peribadi dengan kerja. Saya perlukan atlet yang stabil daripada segi kekuatan dalaman dan luaran,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Marzuki berkata demikian ketika mengulas secara keseluruhan mengenai prestasi semasa atlet para negara pada Kejohanan Simulasi Sukan Memanah ‘Road To Tokyo’ yang berakhir, semalam (Ahad).

Pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil itu, S. Suresh menewaskan Hasihin Sanawi dengan keputusan 6-0 dalam acara recurve lelaki.

“Walaupun Suresh menang ke atas Hasihin namun, masih banyak yang perlu dilakukan dan diperbaiki kerana kita mahu keputusan yang cemerlang di Tokyo nanti,” katanya menambah meskipun Suresh bercuti lama sebelum kejohanan ini, namun beliau dilihat seimbang daripada segi fizikal dan mental.

Menurut Marzuki, meskipun memcatat kejayaan pada kejohanan kali ini, Suresh perlu perbaiki kelemahan daripada segi prestasi, teknik mahupun emosi dan perlu bekerja keras agar lebih bersedia pada kejohanan itu kelak.

Hanya dua atlet memanah para iaitu Suresh dan Hasihin terlibat dalam kejohanan simulasi itu kerana kejohanan itu hanya melibatkan acara recurve.

Beliau berkata walaupun hanya berstatus kejohanan simulasi, namun ia tetap penting dan sebagai ‘pemanas badan’ yang dapat memberi manfaat kepada atlet para dengan penilaian prestasi dan kesediaan atlet yang setelah hampir setahun tidak terlibat dalam perlawanan kompetitif.

“Melalui kejohanan ini, bukan sahaja prestasi, kesediaan mereka untuk beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo juga boleh dinilai.

“Simulasi ini berlainan daripada kejohanan sebenar, baik daripada segi teknik mahupun persaingan. Namun, ia sedikit sebanyak membantu atlet dan jurulatih mencari kekurangan yang perlu dibaiki sebelum pertandingan sebenar nanti,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )