Sela masa pengambilan vaksin oleh bekas pesakit COVID-19 diselaraskan minggu ini

Sela masa pengambilan vaksin oleh bekas pesakit COVID-19 diselaraskan minggu ini

PUTRAJAYA: Sela masa pengambilan vaksin bagi individu yang telah dijangkiti COVID-19 akan diselaraskan minggu ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

ADVERTISEMENT

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) akan menetapkan sela masa yang perlu dilalui sebelum individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Dasar sedia ada JKJAV berhubung pemberian vaksin terhadap individu positif COVID-19 adalah tiga bulan namun ada beberapa PPV (pusat pemberian vaksin) yang buat keputusan berbeza. Oleh itu, perkara ini akan dikemas kini di peringkat JKJAV minggu ini,” katanya pada sidang media perkembangan PICK di sini semalam bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sementara itu, Khairy berkata sumbangan 500,000 dos vaksin Sinovac dari China akan tiba pada pertengahan bulan ini, sekali gus akan dapat meningkatkan kapasiti dan kadar vaksinasi PICK pada bulan ini dan seterusnya.

Malaysia setakat ini telah menerima sumbangan satu juta dos vaksin AstraZeneca dari Jepun pada Khamis lepas dan satu juta dos lagi vaksin Pfizer-BioNTech dari Amerika Syarikat hari ini.

Mengenai dakwaan wujud aktiviti menjual janji temu vaksinasi, Khairy memaklumkan terdapat dua tangkapan telah dibuat oleh pihak polis minggu lepas berhubung perkara itu.

Tanpa mendedahkan lokasi tangkapan, beliau berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bekerjasama dengan polis mengenai perkara itu kerana ia adalah tindakan memanipulasi sistem pemvaksinan

“Terdapat kelemahan dalam mekanisme senarai sandaran yang mengakibatkan manipulasi dalam janji temu pemvaksinan. Kami menyedari beberapa kelemahan ini dan sedang berusaha mengatasinya secepat mungkin,” kata beliau.

Portal media tempatan sebelum ini melaporkan terdapat sesetengah sukarelawan di pusat vaksinasi di sebuah negeri didakwa menjual slot janji temu kepada individu yang mahu memotong barisan untuk divaksinasi.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)