Sekretariat Muafakat Nasional puji penyelesaian kemelut di Perak

Sekretariat Muafakat Nasional puji penyelesaian kemelut di Perak

KUALA LUMPUR,. Mesyuarat Sekretariat Muafakat Nasional malam ini memuji kepimpinan parti Bersatu, UMNO dan PAS di Perak yang berjaya menyelesaikan kemelut politik di negeri itu melalui rundingan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, mesyuarat malam ini menyentuh mengenai penyelesaian masalah di Perak serta beberapa perkara rutin yang lain.

“Mesyuarat hari ini merupakan mesyuarat berkala yang biasa. Selain itu mesyuarat turut membincangkan kerjasama Muafakat Nasional bersama Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mesyuarat malam ini turut membincangkan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Mesyuarat ambil maklum mengenai persetujuan yang dicapai ketiga-tiga parti di Perak,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata kemelut yang berlaku dalam kerajaan negeri Perak perlu diambil sebagai pengajaran untuk mendewasakan hubungan politik UMNO, Bersatu dan PAS.

Beliau berkata isu politik di Perak membuktikan rundingan merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang masalah.

“Ada banyak pengajaran daripada peristiwa di Perak. Kalau berunding, masalah selesai,” katanya.

Kemelut politik di Perak sejak minggu lepas menemui jalan penyelesaian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Saarani, 59, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak akan menjadi Menteri Besar Perak ke-14, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) pada 5 Dis lepas.

Ahmad Faizal, ADUN Chenderiang, meletak jawatan selepas gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ pada Jumaat lepas.

Ahmad Maslan berkata pemilihan Saarani adalah bersesuaian dengan kedudukan Barisan Nasional yang mempunyai kerusi paling banyak dalam DUN Perak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )