Sebanyak 96.4 peratus daripada sasaran 352,101 premis diliputi rangkaian Gigabit – MCMC

Sebanyak 96.4 peratus daripada sasaran 352,101 premis diliputi rangkaian Gigabit – MCMC

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 96.4 peratus daripada sasaran 352,101 premis tahun ini, berjaya diliputi rangkaian Gigabit berdasarkan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan hari ini, memaklumkan sebanyak 83.2 peratus alat pemancar sedia ada yang disasarkan pada tahun ini, pula telah dinaik taraf untuk memperluas dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan 4G.

“Pelaksanaan Jendela sedang dipantau rapi oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Jendela yang bermesyuarat setiap dua minggu dan kepada Jawatankuasa Pemandu Jendela yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, setiap dua bulan.

“Perkara tersebut juga dilaporkan dan dibawa kepada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri. Mesyuarat Pasca Kabinet KKMM yang berlangsung setiap minggu turut memantau pelaksanaan Jendela,” menurut kenyataan itu.

Susulan kenyataan dibuat pihak tertentu mengenai masalah Internet di Sabah dan Sarawak serta kawasan luar bandar di Semenanjung, MCMC memaklumkan pihaknya turut mengambil pendekatan responsif dalam menangani isu kesalinghubungan di seluruh negara bagi memastikan kesejahteraan penduduk terjamin dan membantu merapatkan jurang digital antara sesebuah kawasan.

“MCMC sedar akan keperluan rakyat untuk mempunyai rangkaian Internet yang stabil dan keadaan tersebut bertambah signifikan susulan penularan pandemik COVID-19.

“Justeru, pihak MCMC bersedia menerima cadangan membina yang boleh dimanfaatkan untuk mempertingkatkan kualiti pengalaman terbaik selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2021,” katanya.

MCMC berkata pihaknya bersedia memberi taklimat kepada mana-mana pihak yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang Jendela serta status pelaksanaannya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )