SBM gesa bank tawar perkhidmatan mesra OKU secara seragam

SBM gesa bank tawar perkhidmatan mesra OKU secara seragam

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) meminta Bank Negara Malaysia (BNM) dan semua bank komersial untuk mengamalkan dasar perkhidmatan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) secara seragam.

Presiden SBM Mohammed Nazari Othman berkata terdapat beberapa buah bank di negara ini yang berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang mesra OKU, namun perkhidmatan itu tidak seragam di bank cawangan mereka di luar Lembah Klang.

Katanya, keadaan itu menimbulkan kekeliruan dan kesulitan kepada golongan OKU, terutama yang cacat penglihatan apabila terdapat bank cawangan tidak menggalakkan mereka membuka akaun simpanan atau memiliki kad ATM.

“Jika keadaan itu berterusan, ia pasti menyukarkan golongan ini untuk menggunakan kemudahan perbankan internet atau pembayaran elektronik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Sambutan Hari OKU 2020.

Katanya, persatuan itu berharap BNM dapat segera membantu menyelesaikan isu perkhidmatan perbankan dengan golongan OKU tersebut yang telah lama berlarutan.

Mohammed Nazari juga berkata majoriti golongan OKU cacat penglihatan yang hidup di luar bandar tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap, dengan sebahagian besar berada dalam kumpulan B40.

“Oleh itu, kami juga menggesa pihak swasta agar komited untuk mengambil golongan ini bekerja kerana terdapat ramai graduan OKU yang terlatih, menguasai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kebolehan menggunakan telefon pintar,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )