Saya tidak akan merakamkan lagi lagu cinta-Datin Alyah

Saya tidak akan merakamkan lagi lagu cinta-Datin Alyah

KUALA LUMPUR,. Memnjadi anak seni selama 20 tahun, penyanyi bersuara lunak Datin Alyah hari ini membuat pengumuman tidak akan merakamkan lagi lagu-lagu berunsur cinta manusia.

Penyanyi yang popular dengan lagu Meluruh itu memohon maaf kepada peminat kerana lagu-lagu miliknya sebelum ini banyak membuat pendengar menitiskan air mata kerana kasih kepada manusia.

“20 tahun saya berjalan sebagai seorang penyanyi. Saya menyanyi lagu cinta, lagu sengsara, lagu sedih, lagu curang, lagu kecewa, kebanyakan lagu-lagu saya semua berunsur cinta kepada manusia.

“Di bulan Ramadan yang mulia ini saya ingin memohon kemaafan atas pengaruh yang saya bawa selama ini. Nyanyian saya menitiskan air mata kamu dan menitis kerana kasih pada manusia,” tulis Alyah, 39, menerusi akaun Instagram miliknya hari ini.

Kesal dengan perkara tersebut, tambah Alyah, dia telah membuat keputusan untuk tidak merakam lagi lagu cinta terhadap manusia.

“Saya mohon ampun atas kekilafan saya selama ini dalam mengejar populariti. Sayalah yang berdosa, saya juga amat naif dan saya lah bersalah.

“Mulai saat ini, saya tidak akan merakamkan lagi apa-apa lagu cinta terhadap manusia, lagu buat kekasih yang akan membuatkan kamu terbuai dan lupa pada maha pencipta. Mohon maaf atas keputusan ini,” jelas Alyah.

Dalam perkongsian berserta video yang mendapat lebih 37 ribu tontonan itu, Alyah turut berkongsi lagu baharu berkonsep ketuhanan hasil tulisannya bersama komposer Omar K, Ikhwan Fattana dan Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh.

Keputusan dibuat pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Hassan itu juga disambut baik peminat dan mereka mendoakan yang terbaik buat Alyah. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )