Sathianathan tidak pernah patah semangat

Sathianathan tidak pernah patah semangat

SHAH ALAM,. Jurulatih berpengalaman B. Sathianathan yang dipecat sebagai Ketua Jurulatih Selangor baru-baru ini, masih berhasrat untuk meneruskan karier kejurulatihan dalam saingan kompetitif.

Di usia 62 tahun, bekas pengendali skuad kebangsaan itu mengakui, masih banyak ilmu ingin dicurahkan selain berkongsi pengalaman luas yang dimilikinya, meskipun segelintir pihak menyifatkan beliau tidak lagi relevan, kerana gagal meningkatkan prestasi pasukan Selangor melalui pendekatan digunakan.

Namun, Sathianathan mempertahankan rekod pencapaian serta pengalamannya membimbing pasukan juara melalui pencapaian tiga pasukan terdahulu – Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Felda United – selain mengakui belum memikirkan mengenai soal persaraan.

“Saya tidak patah semangat sama sekali. Perkara (dipecat) ini sudah biasa bagi saya walaupun saya bawa Kelantan muncul naib juara Liga Super dan juara Piala Malaysia…bawa ATM muncul juara Liga Premier dan mara ke final Piala Malaysia, dan juara Liga Premier ketika bersama Felda United.

“Saya ada rekod pencapaian, bukan ramai jurulatih yang ada pencapaian macam saya. Selagi saya boleh berfikir dengan waras, selagi fizikal saya masih cergas saya tidak nampak mengapa saya kena bersara,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Satianathan yang telah menerima beberapa tawaran daripada pasukan tempatan serta satu tawaran daripada kelab luar negara yang berminat mendapatkan sentuhannya, bagaimanapun enggan terburu-buru dalam membuat keputusan.

Menurut beliau, tidak kira sama ada pasukan daripada Liga Super atau Liga Premier, hanya pasukan yang mempunyai visi realistik selain barisan pengurusan yang memahami kaedah sebenar, dalam memajukan bola sepak sahaja yang akan menjadi destinasi pilihannya.

“Sesebuah pasukan perlu ada perancangan rapi dan realistik, barulah seseorang jurulatih yang dilantik itu akan berasa yakin. Sepatutnya pasukan ada perancangan keseluruhan untuk menyaingi JDT (Johor Darul Ta’zim) dalam masa dua hingga tiga tahun, bukannya dalam tahun pertama sudah sasar menjadi juara.

“Jika diberi sedikit lebih masa, ia akan lebih adil kepada jurulatih untuk membentuk sesebuah pasukan yang mantap,” katanya.

Sathianathan pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan sebanyak tiga kali iaitu pada 2010, 2012 dan 2017.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )