Sathianathan cadang MFL beri kebenaran latihan secara sentuhan

Sathianathan cadang MFL beri kebenaran latihan secara sentuhan

KUALA LUMPUR,. Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan mencadangkan supaya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mengadakan latihan secara sentuhan dalam tempoh terdekat.

Bekas jurulatih kebangsaan itu memaklumkan latihan sedemikian boleh diadakan dalam tempoh terdekat sekiranya semua pasukan Liga-M mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pentadbir liga tempatan tersebut untuk latihan fasa pertama.

“Dalam beberapa hari ini, kita berjaya mengikuti SOP ditetapkan dan berjaya tunjukkan kepada masyarakat di luar sana khususnya yang terlibat dengan sukan bahawa latihan tanpa sentuhan ini boleh dibuat.

“Pihak lain dalam masa sama juga jangan tidak mengikuti SOP kerana bimbang apa-apa yang tidak diingini boleh berlaku.

“Saya harap dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, latihan secara sentuhan dapat bermula memandangkan buat masa ini kami hanya melakukan latihan ketahanan menerusi larian sama ada dengan bola atau tanpa bola,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Dalam pada itu, Sathianathan turut mencadangkan agar penyokong tempatan diberi peluang hadir ke stadium sekiranya saingan Liga-M kembali bersambung pada September ini.

Pandangan tersebut disuarakan pengendali berusia 62 tahun itu berdasarkan kepatuhan orang awam dalam mematuhi SOP berhubung jarak sosial ketika ini.

Beliau pada masa sama melihat kapasiti Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang utama Selangor mampu memenuhi segala aspek SOP yang diperlukan sekiranya penonton dibenarkan hadir ke stadium.

“Kalau semua pihak mengikut SOP terutama rakyat di luar sana untuk mengikut undang-undang, saya yakin COVID-19 akan hilang dan tiada lagi kes baharu dalam masa terdekat.

“Jadi, saya pasti kerajaan boleh beri kelonggaran kepada kita semua untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium sebaik liga kita bermula. Dalam bola sepak, penyokong adalah paling utama dan kehadiran mereka cukup penting dalam memberi semangat kepada pemain ketika beraksi,” jelas Sathianathan.

Semalam, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Mohd Nidzam Adzha Yusoff mencadangkan agar MFL memberi lampu hijau kepada penyokong bola sepak tempatan untuk hadir ke stadium menyaksikan perlawanan dalam kapasiti yang terhad sebaik sahaja saingan Liga-M kembali bersambung, kelak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )