
Sanusi Cadang Harga Belian Padi Dinaikkan kepada RM1,800 Per Tan
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mencadangkan agar harga belian padi dinaikkan kepada RM1,800 per tan, berbanding harga semasa RM1,300 per tan. Beliau menegaskan bahawa harga semasa tidak lagi mencerminkan kos pengeluaran yang semakin meningkat, menyebabkan harga padi berada di bawah kos operasi.
Sanusi berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu segera berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk menangani masalah ini, yang menjadi keluh kesah pesawah di seluruh negara.
“Harga RM1,300 per tan tidak wajar. Kos input pertanian seperti benih, racun, dan baja semakin mahal, tetapi harga padi tidak naik. Kos pesawah mencecah RM1,600 per hektar, jadi harga belian padi perlu disesuaikan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan Tahun Baru Cina di Wisma Darul Aman.
Menurutnya, pesawah kini tertekan akibat kerugian kerana kos pengeluaran yang tinggi. “Kos satu hektar RM1,600 dan mereka terpaksa menunggu enam bulan untuk menuai hasil, namun harga RM1,300 per tan tidak mencukupi untuk menampung kos,” jelasnya lagi.
Sanusi turut meluahkan rasa kecewa kerana isu harga padi dan bekalan beras tempatan belum diselesaikan, meskipun ia telah dibangkitkan sejak sekian lama. Beliau mempersoalkan kenapa harga padi masih rendah sedangkan beras import banyak dijual di pasaran.
“Saya pun tidak faham, beras tempatan tiada, tetapi beras import banyak. Padahal padi ditanam di negeri ini, ke mana perginya beras itu?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak yang sering menuding jari kepada kerajaan negeri untuk memahami prosedur industri beras negara, yang sepatutnya diuruskan oleh Kementerian Asas Tani dan Keterjaminan Makanan.
“Jika mereka beri kuasa kepada saya, saya pasti akan berusaha untuk mengatasi masalah ini,” katanya sinis.