Samun lebih RM3 juta di lebuh raya : Polis rakam keterangan perakam video, tujuh lain

Samun lebih RM3 juta di lebuh raya : Polis rakam keterangan perakam video, tujuh lain

KUALA LUMPUR,. Polis merekodkan lapan keterangan saksi berhubung kes samun kenderaan pacuan empat roda, barang kemas serta wang tunai bernilai lebih RM3 juta yang berlaku di Lebuhraya Besraya berhampiran Sungai Besi di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata lapan saksi yang diambil keterangan termasuk daripada seorang saksi yang merakam video kejadian itu dan menyebarkannya ke media sosial.

“Kes samun kira-kira 3.35 petang berkenaan melibatkan kerugian sejumlah RM67,000 wang tunai, barang kemas bernilai RM3 juta beserta sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux,” katanya kepada Bernama malam ini.

Tanpa mendedahkan perincian lanjut tujuh saksi yang lain, beliau berkata saksi yang merakam kejadian berkenaan merupakan seorang pemandu e-hailing dan hanya merakam kejadian tanpa menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan.

Sehubungan itu beliau menyeru orang awam agar terus menghubungi pihak polis jika melihat sebarang kejadian jenayah yang berlaku dan bukan hanya menyebarkannya di media sosial.

“Tindakan seperti itu hanya menyebabkan penjenayah sempat melarikan diri atau perkara lebih buruk boleh berlaku di luar jangkaan,” katanya.

Hari ini, Bernama melaporkan seorang jurujual emas dan rakannya berdepan detik cemas apabila dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang di lebuh raya berkenaan.

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan mengedarkan barang kemas di sekitar Kuala Lumpur itu dihalang tiga lelaki menaiki dua kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam, yang kemudiannya memecahkan cermin kenderaan, menyamun dan membawa lari kenderaan terbabit.

Mangsa yang masing-masing berusia 47 dan 21 tahun yang tercedera akibat terkena serpihan cermin kenderaan itu ditarik keluar daripada kenderaan dan ditinggalkan di tepi lebuh raya berkenaan.

Zairulnizam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata dan berkumpulan.

Polis turut menemukan kenderaan pacuan empat roda yang dilarikan itu dalam keadaan terbakar di kawasan Damansara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )