Sama ada virus jangkiti Kluster Sivagangga mutasi D614G diketahui minggu depan

Sama ada virus jangkiti Kluster Sivagangga mutasi D614G diketahui minggu depan

PUTRAJAYA,. Sama ada virus COVID-19 daripada Kluster Sivagangga merupakan virus mutasi D614G yang berisiko meningkatkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka yang tidak mematuhi prosedur pengendalian standard (SOP) akan diketahui dalam masa seminggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Institut Kajian Perubatan sedang mengkaji dan sudah mengasingkan virus COVID-19 daripada Kluster Sivagangga.

“Seminggu lagi boleh dilihat genomic sequence (urutan gen) sama ada ia merupakan mutasi atau tidak. Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya bimbang berlaku mutasi,” katanya lagi pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM di sini, hari ini.

Selain penjagaan kesihatan awam, kawalan sempadan juga perlu ditingkatkan kerana virus COVID-19 mutasi D164G turut dilaporkan di Eropah dan negara lain, katanya.

Virus itu dikatakan boleh meningkatkan kebolehjangkitan lebih 10 kali ganda dalam kalangan mereka yang tidak mengikuti SOP.

Dr Noor Hisham berkata melalui tindakan kesihatan awam setakat ini jangkitan Kluster Sivagangga di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang berjaya dikawal melalui pengesanan kes aktif dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar Secara Pentadbiran.

Setakat ini Kluster Sivagangga belum dikesan di negeri lain dan ia dijangka dapat dikawal sepenuhnya dalam masa seminggu, katanya lagi.

Mengenai satu kes yang dilaporkan positif pada Sabtu lepas di Negeri Sembilan, Dr Noor Hisham berkata KKM belum boleh mengesahkan kes berkenaan sebagai kes jangkitan kali kedua melibatkan pesakit yang sama.

Ditanya mengenai penggunaan pelindung muka dalam kalangan pelajar sekolah sebagai alternatif kepada penggunaan pelitup muka, beliau berkata, tidak ada kajian klinikal yang membuktikan pelindung muka dapat mencegah jangkitan COVID-19.

Sebaliknya, pelitup muka dapat memutuskan penularan COVID-19, katanya lagi. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )