Salahkan saya – Mourinho

Salahkan saya – Mourinho

LONDON,. Jose Mourinho mengambil tanggungjawab atas pergaduhan Hugo Lloris dan Son Heung-min – sambil menggambarkan ia sebagai “cantik”.

Kemenangan 1-0 Spurs mengatasi Everton awal pagi tadi dibayangi pergaduhan antara Lloris dan Son apabila kedua-duanya saling tolak menolak sebelum dipisahkan rakan sepasukan.

Dan Mourinho berkata dia seharusnya dipersalahkan kerana insiden berkenaan – kerana dia meminta pemain Tottenham menjadi “lebih bertanggungjawab antara satu sama lain”.

“Ia sesuatu yang cantik,” kata bos Spurs itu.

“Ia mungkin sebab kesan mesyuarat antara kami. Jika anda mahu menyalahkan seseorang kerana hal itu, ia adalah saya.

“Saya sangat kritikal terhadap pemain saya – mereka tidak cukup kritikal terhadap diri mereka sendiri. Saya minta mereka lebih kritikal antara satu sama lain.”

Mourinho berkata Lloris hanya mahu Son lebih berusaha dalam aspek pertahanan dalam perlawanan itu dan tindakan kapten pasukan itu adalah reaksi selepas mendengar permintaan pengurusnya untuk menampilkan standard permainan lebih tinggi.

“Son ialah pemain yang menakjubkan, semua orang sukakan Son tapi kapten memberitahu anda untuk lebih berusaha memberikan yang terbaik buat pasukan,” kata Mourinho. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )